KAMPUNG KEMBOJA MELAKA POPULARKAN ‘TONGMO’

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

PAYA RUMPUT 29 Julai – Siapa sangka di sebalik populariti ‘tongmo’, makanan tradisi masyarakat Kemboja di negara ini, ia sebenarnya mula dipopularkan dari Negeri Melaka.

Ia selepas seorang masyarakat berketurunan Melayu Champa dari Kampung Bukit Datuk B atau lebih dikenali sebagai Kampung Kemboja, memperkenalkan hidangan tersebut di Melaka kira-kira 20 tahun lalu.

Salleh Isa, 63, berkata, hidangan sejenis sosej yang diisi daging cincang perap dan disumbat ke dalam usus lembu itu mula dijualnya sejak tahun 2006 dan dari itu ia mula tular apabila disiarkan beberapa rancangan televisyen dan portal, termasuk Melaka Hari Ini.

“Saya adalah yang mula-mula berniaga tongmo di kampung ini dan ia mula popular apabila disiarkan Majalah Tiga dan beberapa rancangan lain.

“Alhamdulillah makanan tradisi ini diterima ramai, khususnya rakyat Melaka dan kawasan ini terus berkembang dengan pelbagai aktiviti perniagaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Warga emas itu ditemui selepas Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput yang diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di kampung berkenaan, di sini, pada Isnin.

Turut bersama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Menurut Salleh, kehadiran Ketua Menteri bersama kepimpinan negeri menjadikan suasana kampung lebih meriah selain membuktikan kerajaan sentiasa mengambil berat kebajikan penduduk.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri dan YB kerana datang ke kampung kami. Kehadiran mereka membuka hati kami dan nampak kampung ini lebih meriah.

“Kami sangat gembira apabila jalan kampung ini akan dibaiki kerana sebelum ini apabila hujan, air akan bertakung. Alhamdulillah, dengan bantuan ini keadaan akan menjadi lebih baik,” katanya.

Dia turut menghargai usaha Kerajaan Negeri mendekati masyarakat menerusi pendekatan turun padang kerana ia memberi peluang rakyat menyuarakan keperluan secara terus.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

250
Kongsi :
Previous post PERZIM, ARKIB NEGARA JALIN KERJASAMA STRATEGIK PELIHARA KHAZANAH SEJARAH MELAKA