
MAJIKAN PERLU BERI PERHATIAN ANCAMAN PSIKOSOSIAL TEMPAT KERJA
BANDARAYA MELAKA 30 Julai – Risiko psikososial di tempat kerja seperti tekanan melampau, beban tugas tidak seimbang, buli di tempat kerja dan keletihan emosi kini menjadi ancaman baharu yang perlu diberi perhatian serius oleh setiap majikan.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, ancaman psikososial tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan mental pekerja, malah boleh meningkatkan risiko kemalangan fizikal akibat hilang fokus ketika menjalankan tugas.
Katanya, persepsi bahawa keselamatan pekerjaan hanya berkaitan kemalangan melibatkan mesin, jatuh dari tempat tinggi atau terdedah kepada bahan kimia perlu diubah memandangkan tekanan psikososial kini memberi kesan besar terhadap produktiviti organisasi.
“Stres di tempat kerja, beban tugas yang tidak realistik, gangguan atau buli serta kegagalan mewujudkan keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi merupakan antara faktor yang menyumbang kepada risiko keselamatan di tempat kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH Week) 2026 Peringkat Negeri Melaka di sebuah hotel, di sini, pada Rabu.
Hadir sama Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Melaka Ramesh Zakir Shamsul serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, majikan perlu melihat aspek kesejahteraan mental sebagai satu pelaburan jangka panjang kerana pekerja yang sihat mentalnya akan lebih produktif, berdaya tahan dan mampu bekerja dalam persekitaran yang lebih selamat.
“Usaha memperkukuh kesihatan mental pekerja selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberi penekanan terhadap kesejahteraan pekerja serta pengukuhan budaya pencegahan dalam sektor pekerjaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

