
MAIM PELAWA UMAT ISLAM PERKASA INISIATIF WAKAF
AYER KEROH 29 Julai – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mempelawa penyertaan orang ramai khususnya umat Islam untuk menyumbang kepada dana wakaf bagi membantu melaksanakan beberapa projek pembangunan kemudahan institusi Islam sedang giat dilaksanakan di negeri ini.
Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, antara projek utama yang kini giat mengumpul dana adalah pembinaan masjid baharu di Pulau Besar yang setakat ini berjaya mengumpul kutipan kira-kira RM5 juta.
Menurutnya, MAIM masih memerlukan dana antara RM7 juta hingga RM8 juta lagi bagi menampung kos keseluruhan pembinaan masjid berkenaan. Kos pembinaan masjid di Pulau Besar adalah lebih tinggi berbanding tanah besar kerana melibatkan pelbagai faktor seperti logistik dan pengangkutan bahan binaan.
“Secara keseluruhannya, kos pembinaan di Pulau Besar meningkat antara 20 hingga 30 peratus berbanding projek yang dilaksanakan di tanah besar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, MAIM turut melaksanakan kutipan dana wakaf bagi pembinaan Balai Islam di Kampung Pulau, Masjid Tanah.
“Untuk pembangunan ini satu daripada lot adalah tanah wakaf, namun masih memerlukan pembiayaan bagi pembinaan jalan masuk ke tapak serta pengambilan tanah dianggarkan menelan kos kira-kira RM2 juta.
“Setakat ini dana berjaya dikumpulkan bagi projek Balai Islam itu adalah kira-kira RM120,000. Sehubungan itu kami berharap lebih ramai individu atau penyumbang tampil menyokong usaha ini supaya projek-projek yang dirancang dapat disiapkan demi manfaat umat Islam di negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

