JKKP BIMBING PMKS TINGKAT TAHAP PEMATUHAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJA

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

BANDARAYA MELAKA 31 Julai – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) memperkukuhkan pendekatan Pematuhan Berasaskan Sokongan (Compliance Support) bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) meningkatkan tahap pematuhan keselamatan serta kesihatan pekerjaan.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, pendekatan itu dilaksanakan menerusi pelaksanaan program bimbingan, dialog dan khidmat nasihat sebagai usaha membantu majikan memahami serta memenuhi keperluan perundangan tanpa bergantung sepenuhnya kepada tindakan penguatkuasaan.

Katanya, Kerajaan Negeri memahami kebanyakan PMKS masih berdepan kekangan daripada aspek kewangan, tenaga kerja dan kepakaran teknikal untuk melaksanakan sistem pengurusan keselamatan secara menyeluruh.

“Oleh sebab itu, JKKP mengambil pendekatan lebih progresif dengan memperbanyakkan program bimbingan seperti Program Bimbingan dan Dialog Keselamatan dan Kesihatan Pekerja.

“Matlamat kita bukan sekadar menghukum, tetapi membantu majikan membina budaya kerja selamat dan meningkatkan tahap pematuhan secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH Week) 2026 Peringkat Negeri Melaka di sebuah hotel, di sini, pada Rabu.

Hadir sama Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Melaka Ramesh Zakir Shamsul serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, sektor PMKS merupakan tulang belakang ekonomi negara kerana merangkumi kira-kira 97 peratus daripada keseluruhan entiti perniagaan berdaftar selain menjadi penyumbang utama peluang pekerjaan.

“Usaha memperkukuh budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk majikan, pekerja serta agensi berkaitan supaya setiap tempat kerja menjadi lebih selamat, sihat dan produktif,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

497
Kongsi :
Previous post WRUR PAYA RUMPUT, MBMB UBATI KERINDUAN WARGA EMAS TONTON TELEVISYEN