TOK RAUF SAKSIKAN KEMERIAHAN KEJOHANAN SUKAN BADAN BERUNIFORM DI KEM TERENDAK 

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

SUNGAI UDANG 31 Julai – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengadakan lawatan bagi melihat sendiri kemeriahan Kejohanan Sukan 2 Jiwa 1 Hati dan Kejohanan Sukan Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2026 di Pavilion Kem Terendak, di sini, hari ini.

Sepanjang lawatan itu, beliau meluangkan masa menyaksikan beberapa acara yang dipertandingkan termasuk perlawanan bola sepak antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Darat Malaysia (TDM), selain meninjau pertandingan tarik tali serta sukan lain.

Beliau turut beramah mesra dengan peserta, petugas dan pengunjung yang hadir, selain menyantuni pasukan yang mengambil bahagian dalam kejohanan berkenaan.

Mengiringi lawatan Ketua Menteri adalah Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem serta kenamaan lain.

Kejohanan berkenaan memasuki edisi kedua selepas penganjuran sulung pada tahun 2025 yang mendapat sambutan menggalakkan, sekali gus menjadi platform mengeratkan hubungan antara jabatan, agensi kerajaan dan badan beruniform menerusi semangat kesukanan.

Edisi kali ini menghimpunkan lebih 6,000 peserta yang mengambil bahagian dalam pelbagai acara sukan, membuktikan kejohanan itu terus mendapat tempat sebagai acara tahunan yang menyatukan warga perkhidmatan awam dan badan beruniform.

Bagi Kejohanan Sukan 2 Jiwa 1 Hati, sebanyak 19 acara dipertandingkan melibatkan penyertaan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang berlangsung dari 18 hingga 26 Julai 2026.

Manakala Kejohanan Sukan Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka menghimpunkan pasukan daripada pelbagai badan beruniform di negeri ini yang berlangsung mulai 27 Julai hingga 1 Ogos 2026.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

425
Kongsi :
Previous post JKKP BIMBING PMKS TINGKAT TAHAP PEMATUHAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJA