
IBU TUNGGAL SEBAK, JELAJAH KETUA MENTERI MAKBULKAN DOA BAIKI RUMAH UZUR
TELOK MAS 3 Ogos – Seorang ibu tunggal tidak dapat menahan sebak apabila hasratnya untuk membaiki kediaman yang uzur akhirnya menjadi kenyataan selepas menerima bantuan baik pulih rumah menerusi Program Sentuhan Kasih Bersama sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.
Robiah Majid, 54, antara lima penerima bantuan yang terpilih di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (Baik Pulih) Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), masing-masing menerima bantuan berjumlah RM20,000.
Menurutnya, bantuan itu amat bermakna memandangkan dia sememangnya tidak berkemampuan untuk menanggung kos membaiki kediaman yang semakin uzur akibat serangan anai-anai.
“Sebenarnya masalah anai-anai ini sudah lama berlaku. Jika dulu arwah suami ada, dia akan bantu baiki apa yang boleh. Disebabkan itu, semakin hari keadaan kerosakan semakin teruk, selain kayu rumah juga semakin reput dan rosak.
“Saya memang tidak mampu untuk keluarkan belanja bagi baik pulih rumah ini. Walaupun risau akan keselamatan dengan keadaan rumah agak teruk, tetapi saya cuba kuatkan hati,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Robiah berkata demikian ketika ditemui pada Program Sentuhan Kasih Bersama MBMB sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Kampung Permatang Pasir, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam dan Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.
Menurut Robiah, bantuan berjumlah RM20,000 itu membuatkannya amat lega kerana tidak perlu lagi memikirkan bagaimana hendak mencari wang untuk membaiki rumah yang sudah lama rosak.
“Saya amat bersyukur apabila terpilih menerima bantuan baik pulih rumah ini. Bantuan RM20,000 ini sangat besar nilainya buat saya kerana kalau hendak harapkan duit sendiri memang saya tidak mampu.
“Pastinya semua ini dengan bantuan Ketua Menteri, wakil rakyat Datuk Razak, Kerajaan Negeri dan MBMB yang amat prihatin dengan nasib rakyat yang kurang berkemampuan seperti saya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


