HASIL MELAKA MENINGKAT RM122.7 JUTA

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

TABOH NANING 5 Ogos – Hasil Negeri Melaka meningkat RM122.7 juta dalam tempoh dua tahun daripada RM427.5 juta pada 2023 kepada RM550.2 juta pada 2025, mencerminkan prestasi positif hasil negeri yang terus diperkukuh Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, momentum peningkatan berkenaan diteruskan pada tahun ini apabila kutipan hasil mencecah RM319.8 juta atau bersamaan 60.46 peratus daripada unjuran tahunan sebanyak RM528.9 juta setakat 31 Julai.

“Insya-Allah, kita yakin dengan pelbagai dasar-dasar baharu yang kita perkenalkan, insya-Allah keberhasilan untuk Kerajaan Negeri meningkatkan hasil pendapatan akan terus diperkukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Lab Pemacuan Pertumbuhan Mampan dan Ketahanan Strategik Agensi dan Anak Syarikat Negeri Melaka serta Lab Pengukuhan Kutipan Hasil Baharu Negeri Melaka Tahun 2026, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Menurut Ab Rauf, bengkel selama tiga hari itu telah menilai secara menyeluruh berasaskan tahap kemampanan (sustainability) dan ketahanan strategi (resilience) setiap anak syarikat Kerajaan Negeri.

Jelas beliau, hasil penilaian tersebut menunjukkan sebanyak tiga anak syarikat dikategorikan paling mampan dan paling berdaya tahan; 12 dalam kategori mampan dan berdaya tahan; 21 anak syarikat dalam kategori berdaya tahan dan hanya tujuh dalam kategori tidak mampan dan tidak berdaya tahan.

“Alhamdulillah, dapatan ini menunjukkan bahawa sebahagian besar anak syarikat negeri berada pada landasan yang positif. Ini membuktikan bahawa pelbagai usaha pemerkasaan yang telah dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini mula membuahkan hasil.

“Namun begitu, kita tidak boleh berpuas hati selagi masih terdapat anak syarikat yang berada dalam kategori Tidak Mampan dan Tidak Berdaya Tahan.

“Saya mahu pelan intervensi dipercepatkan kepada tujuh anak syarikat tersebut, manakala anak syarikat yang telah mencapai kategori Paling Mampan dan Berdaya Tahan terus menjadi penanda aras kepada yang lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

314
Kongsi :
Previous post TERIMA KASIH KETUA MENTERI DATANG RUMAH SAYA
Next post RUMAH UZUR DIMAKAN ANAI-ANAI, TOK RAUF UMUM PERUNTUKAN BAIK PULIH RM25,000 DARIPADA MAIM