99 PERATUS ADUAN RAKYAT SELESAI, BUKTI PBT MELAKA PANTAS BERTINDAK

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

PAYA RUMPUT 6 Ogos – Sebanyak 99 peratus daripada lebih 13,300 aduan rakyat yang diterima empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Melaka sepanjang tahun 2025 berjaya diselesaikan, membuktikan keutamaan Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap permasalahan rakyat diberi perhatian dan tindakan sewajarnya.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu menjadi antara ukuran sebenar prestasi PBT kerana kejayaan sesebuah pihak berkuasa tempatan bukan sekadar dinilai berdasarkan jumlah hasil yang dikutip atau projek yang dilaksanakan.

Sebaliknya, beliau berkata, aspek paling penting adalah sejauh mana masalah dan aduan rakyat dapat diselesaikan dengan berkesan.

“Bukan itu sahaja, malah sepanjang tahun 2025, keempat-empat PBT berjaya merekodkan kutipan hasil keseluruhan melebihi RM407 juta, di samping melaksanakan 537 projek pembangunan dan penyelenggaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Perdana Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Melaka Tahun 2026 di perkarangan Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Timbalannya Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Yang turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari.

Ab Rauf berkata, pencapaian berkenaan menunjukkan bahawa ukuran prestasi PBT tidak seharusnya hanya dilihat melalui angka kutipan hasil atau jumlah projek yang berjaya dilaksanakan, sebaliknya turut mengambil kira keberkesanan menyelesaikan isu yang dihadapi rakyat.

“Bagi saya, inilah antara ukuran sebenar prestasi PBT. Bukan sekadar berapa banyak hasil dikutip atau projek dilaksanakan, tetapi sejauh mana masalah rakyat benar-benar berjaya diselesaikan.

“Sebab itu, jangan sesekali memandang kecil setiap tugas yang dilaksanakan. Mungkin ramai yang bekerja di belakang tabir, jauh daripada perhatian dan sorotan, namun percayalah, hasil kerja saudara dan saudari dilihat, digunakan dan dirasai oleh rakyat setiap hari,” katanya.

Menurutnya, setiap warga PBT memainkan peranan penting dalam memastikan perkhidmatan awam di peringkat akar umbi terus berjalan lancar, termasuk memastikan kemudahan awam diselenggara, aduan rakyat ditangani serta projek pembangunan dapat dilaksanakan mengikut perancangan.

Sehubungan itu, Ketua Menteri merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga MBMB, MPHTJ, MPAG dan MPJ atas komitmen serta dedikasi yang diberikan dalam melaksanakan amanah kepada rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

307
Kongsi :
Previous post PBT MELAKA ‘MELEDAK’, RAIH PELBAGAI PENGIKTIRAFAN
Next post EMPAT KEUTAMAAN PBT MELAKA HADAPI BAKI 2026