
MPAG NAIKKAN PENANDA ARAS PENYELESAIAN ISU RAKYAT
PAYA RUMPUT 6 Ogos – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) akan terus meningkatkan ‘benchmark’ atau penanda aras penyelesaian aduan bagi memastikan setiap isu dan permasalahan rakyat di kawasan pentadbirannya dapat ditangani dengan lebih berkesan, kata Yang Dipertua MPAG Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim.
Beliau berkata, amanat Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan akan dijadikan panduan untuk memperkemas lagi sistem penyelesaian aduan sedia ada.
“MPAG sentiasa komited memberikan perkhidmatan yang terbaik. Berdasarkan amanat Ketua Menteri sebentar tadi, MPAG akan meningkatkan lagi apa yang kita tetapkan sebagai ‘benchmark’ untuk menyelesaikan isu-isu dan masalah tempatan.
“Di peringkat MPAG kita telah menerima aduan-aduan yang kita selesaikan mengikut proses dan prosedur. Jadi, kita akan lihat lagi apa yang kita boleh tambah baik untuk menyelesaikan masalah rakyat,” kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Perdana Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Melaka Tahun 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri di perkarangan Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.
Menurut TPr. Saifuddin, penambahbaikan berterusan juga akan dilakukan bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan MPAG kekal responsif terhadap keperluan semasa masyarakat.
Sebelum ini, Ketua Menteri memaklumkan empat PBT Negeri Melaka menerima lebih 13,300 aduan rakyat sepanjang 2025, dengan 99 peratus daripadanya berjaya diselesaikan.
Ab Rauf berkata, kadar penyelesaian aduan itu merupakan antara ukuran sebenar prestasi PBT kerana kejayaan sesebuah PBT bukan sekadar dinilai berdasarkan jumlah hasil yang dikutip atau projek dilaksanakan, tetapi sejauh mana masalah rakyat berjaya diselesaikan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


