
MPJ PERKASA DIGITAL, PASTIKAN JASIN TERUS BERSIH DAN CERIA
PAYA RUMPUT 6 Ogos – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) akan memperkukuh pendigitalan perkhidmatan serta mengekalkan tahap kebersihan sebagai antara fokus utama dalam memastikan kesejahteraan masyarakat di daerah Jasin.
Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, pihaknya komited menyahut kesemua empat amanat dan keutamaan yang digariskan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dengan penuh amanah.
“Antara amanat yang disampaikan adalah dalam sudut pendigitalan dengan memanfaatkan data bagi menyokong proses membuat keputusan serta menggalakkan penggunaan teknologi pintar dalam pengurusan bandar.
“Insya-Allah, kita akan tambah baik dari semasa ke semasa untuk kesejahteraan masyarakat, terutamanya di Jasin dan seterusnya menyokong Kerajaan Negeri menerusi agenda bandar pintar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Perdana Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Melaka Tahun 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri di perkarangan Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.
Mengulas aspek kebersihan pula, Zahiruddin berkata MPJ akan terus mengekalkan tahap kebersihan dan keceriaan di Jasin.
Menurut beliau, komitmen warga kerja MPJ dalam memastikan kebersihan kawasan pentadbiran sentiasa terpelihara akan terus diperkukuh bagi memastikan persekitaran yang selesa dan kondusif untuk masyarakat.
Terdahulu, dalam amanatnya, Ketua Menteri menggariskan empat keutamaan yang perlu menjadi fokus Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sehingga penghujung 2026, termasuk memacu transformasi melalui agenda bandar pintar serta memperkukuh pengurusan bandar yang bersih, teratur dan selamat.
Beliau turut menetapkan sasaran Melaka untuk mencapai status ‘Visionary Smart City’ menjelang 2035, iaitu tahap tertinggi dalam kerangka pembangunan bandar pintar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


