HLN 2026: REZEKI PENIAGA KECIL MELIMPAH

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

PAYA RUMPUT 10 Ogos – Sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2026 bukan sahaja memeriahkan perkarangan Stadium Hang Jebat, malah membuka peluang rezeki kepada hampir 100 peniaga kecil yang mengambil bahagian sepanjang empat hari penganjuran.

Lebih menarik, sambutan menggalakkan pengunjung terhadap jualan menyebabkan sebahagian peniaga terpaksa menambah stok bagi memenuhi permintaan sepanjang program berlangsung.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, maklum balas diterima daripada peniaga juga amat menggalakkan apabila mereka melaporkan jualan yang baik sepanjang sambutan berkenaan.

Menurutnya, lebih 50 reruai disediakan sepanjang penganjuran HLN 2026 yang menghimpunkan hampir 100 peniaga kecil.

“Peniaga-peniaga yang ada ini memang meriah dan mereka tambah stok lagi sebab jualan mereka mendapat sambutan dengan baik.

“Mereka nampak gembira berniaga dan ini menunjukkan program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, tetapi turut membantu peniaga kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, merasmikan Majlis Santuni Petugas Pembersihan Sempena Sambutan Hari Pekerja Pembersihan Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 di Stadium Hang Jebat, di sini, pada Ahad.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, sambutan berkenaan turut membuktikan Dataran Stadium Hang Jebat mempunyai potensi untuk terus dimanfaatkan sebagai lokasi penganjuran pelbagai acara berskala besar pada masa akan datang.

“Kawasan ini merupakan lokasi yang strategik kerana mudah untuk orang ramai. Jadi selepas ini kita ingin menggalakkan lebih banyak pihak berkuasa tempatan (PBT) atau syarikat untuk menganjurkan acara di sini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

488
Kongsi :
Previous post 40 TAHUN KAMI TUNGGU, AKHIRNYA JAMBATAN BAHARU SIAP
Next post SALHAH WANITA PERTAMA DILANTIK SUK MELAKA