AIR MATA TANDA SYUKUR, IMPIAN MILIKI KEDIAMAN SELESA TERCAPAI

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

GADEK 12 Ogos – Air mata menjadi tanda kesyukuran seorang warga emas selepas impian untuk memiliki kediaman lebih selesa menjadi kenyataan apabila dipilih sebagai penerima bantuan pembinaan rumah baharu.

Russiah Ahmad, 62, penerima bantuan di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), kini mampu menarik nafas lega apabila dapat menghuni kediaman baharu selain tidak lagi perlu memikirkan keadaan rumahnya yang uzur dan tidak lagi selamat untuk didiami.

“Rumah lama sebelum ini sudah terlalu uzur dan rosak teruk akibat dimakan anai-anai sehingga menyebabkan beberapa bahagian dinding terpaksa ditahan menggunakan kayu bagi mengelak papan daripada jatuh.

“Malah zink juga sering kali tercabut apabila cuaca hujan lebat dan angin kencang. Keadaan ini menyebabkan saya buntu memikirkan keadaan rumah serta keselamatan diri.

“Saya hanya mampu mengalirkan air mata kerana amat bersyukur dan berterima kasih. Tidak terucap rasanya perasaan ini apabila hajat untuk memiliki kediaman lebih selesa dimakbulkan,” katanya.

Ibu tunggal itu berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Rumah Bina Baharu PPRS Sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Kampung Pegoh Dalam, pada Ahad.

Hadir sama, Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek, Datuk VP Shanmugam; barisan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta lain-lain kenamaan.

Menurut Russiah, proses kelulusan dan pembinaan rumah yang tidak mengambil masa yang lama juga membuatkan dirinya amat lega.

“Jika kelulusan permohonan dan pembinaan mengambil masa yang lama mungkin sekarang mak cik hanya mampu berteduh di bahagian dapur rumah lama. Alhamdulillah dengan kerjasama semua pihak semua berjalan lancar.

“Malah apa yang lebih terharu, saya tidak sangka Ketua Menteri sanggup luangkan masa datang bertanya khabar walaupun keadaan saya seperti ini.

“Saya tidak dapat menahan sebak ketika menerima kunjungan Ketua Menteri, hanya air mata sebagai ucapan terima kasih,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

701
Kongsi :
Previous post FELDA HUTAN PERCHA JADI ‘KELAS DESA’ DELEGASI AFRIKA-ASIA
Next post FELDA HUTAN PERCHA SERLAH KEUNIKAN, WARNA-WARNI BUDAYA DESA