FELDA HUTAN PERCHA JADI ‘KELAS DESA’ DELEGASI AFRIKA-ASIA

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

MACHAP JAYA 11 Ogos – Felda Hutan Percha menjadi ‘kelas desa’ kepada 22 peserta dari 18 negara anggota African-Asian Rural Development Organization (AARDO) apabila mereka berpeluang menyelami sendiri kehidupan, budaya dan pendekatan pembangunan masyarakat luar bandar Malaysia.

Pengarah Institut Kemajuan Desa (INFRA), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Abd Jalil Ismail berkata, program latihan antarabangsa berkenaan memberi peluang kepada peserta termasuk pegawai kanan kerajaan untuk melihat sendiri pendekatan Malaysia dalam membangunkan kawasan luar bandar.

Katanya, selepas mengikuti sesi kelas, latihan dan perkongsian, peserta kemudian dibawa ke Felda Hutan Percha bagi meneruskan pembelajaran menerusi pengalaman secara langsung bersama masyarakat setempat.

“Apabila kita bawa mereka ke Felda Hutan Percha, kita mahu mereka merasai dan mengalami sendiri adat budaya serta kehidupan masyarakat luar bandar di Malaysia.

“Mereka bukan sekadar belajar dalam bilik kuliah, tetapi turun ke lapangan untuk melihat sendiri bagaimana komuniti luar bandar dibangunkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Sambutan Program Latihan Antarabangsa AARDO di Dewan Serbaguna Felda Hutan Percha, di sini, hari ini.

WhatsApp Image 2026 08 11 at 3.20.45 PM
ABD JALIL

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Hutan Percha, Nizam Baharom.

Menurut Abd Jalil, program berkenaan memasuki tahun keempat penganjurannya selepas sebelum ini diadakan di Langkawi dan menjadi platform untuk Malaysia berkongsi pengalaman pembangunan luar bandar dengan negara anggota AARDO.

Beliau berkata, sepanjang empat hari berada di Felda Hutan Percha, peserta akan didedahkan kepada pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk menyaksikan majlis pertunangan dan perkahwinan mengikut adat Melayu, selain menyertai aktiviti bersama penduduk kampung.

“Melalui program ini, mereka bukan sahaja belajar mengenai pembangunan luar bandar tetapi dapat melihat bagaimana masyarakat setempat bekerjasama membangunkan kampung.

“Mereka akan melihat peranan FELDA, JPKK, peneroka dan pemimpin komuniti dalam menggerakkan pembangunan Hutan Percha,” katanya.

Abd Jalil berkata, pemilihan Felda Hutan Percha sebagai lokasi program turut mengambil kira pencapaian kampung berkenaan yang pernah menerima Anugerah Aspirasi Desa MADANI (ADM), selain menjadi finalis beberapa anugerah FELDA.

Katanya, kepelbagaian masyarakat di Felda Hutan Percha yang terdiri daripada Melayu, Cina, India dan Orang Asli turut memberi nilai tambah kepada pengalaman peserta sepanjang mengikuti program berkenaan.

“Ini memberikan mereka gambaran lebih menyeluruh mengenai kehidupan masyarakat luar bandar di Malaysia yang bukan sahaja mempunyai kepelbagaian budaya, tetapi turut mengamalkan semangat kerjasama dalam pembangunan komuniti.

“Pada masa sama, mereka dapat melihat bagaimana kepelbagaian masyarakat boleh menjadi kekuatan dalam membangunkan sesebuah komuniti,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman secara langsung di Hutan Percha diharap dapat memberi perspektif baharu kepada peserta untuk dibawa pulang dan disesuaikan dengan usaha pembangunan luar bandar di negara masing-masing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

459
Kongsi :
Previous post TIGA KELUARGA DI DUN GADEK TERIMA KEDIAMAN BAHARU