TIGA KELUARGA DI DUN GADEK TERIMA KEDIAMAN BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

GADEK 11 Ogos – Tiga keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek menerima kediaman baharu menerusi bantuan Program Melaka Rumahku (PMR) dilaksanakan oleh Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

Pengarah Eksekutif LPM Datuk TPr. Murad Husin berkata, selain bina baharu kediaman, pihaknya juga turut meluluskan satu permohonan untuk baik pulih kediaman yang dilaksanakan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang tahun ini.

“Untuk program CSR LPM di DUN Gadek ini, kita kita sudah meluluskan tiga unit bina baharu termasuk sebuah yang diserahkan sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

“Manakala bagi baik pulih pula, LPM telah meluluskan satu permohonan dan usaha ini adalah bagi membantu rakyat yang memerlukan kediaman lebih selesa untuk dihuni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Rumah Bina Baharu LPM Sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Kampung Tanning Rimau, pada Ahad.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek, Datuk VP Shanmugam; barisan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta lain-lain kenamaan.

Menurut TPr. Murad, program CSR itu merupakan inisiatif berterusan yang dilaksanakan setiap tahun yang mana seramai 90 keluarga sudah menerima manfaat bagi 2026.

“Sepanjang tahun ini sebanyak 50 kelulusan diberikan untuk bina baharu manakala bakinya bagi pelaksanaan baik pulih membabitkan kos lebih RM2.1 juta.

“Untuk pelaksanaan CSR ini, ia adalah program berterusan dilaksanakan setiap tahun dan bergantung kepada kelulusan daripada jawatankuasa,” katanya.

Jelasnya, LPM akan terus berusaha memperluaskan pelaksanaan projek bina baharu dan baik pulih kediaman di seluruh Melaka bagi memastikan lebih ramai golongan yang layak menerima manfaat daripada program dilaksanakan pihaknya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

346
Kongsi :
Previous post KES ADIK EAN BUKTI MAIM ADA SAAT DIPERLUKAN