
SUKMA: MELAKA SASAR EMAS BERBASIKAL, MOHD HAFIQ JADI SANDARAN
AYER KEROH 12 Ogos – Persatuan Berbasikal Negeri Melaka (PBNM) menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII 2026 di Selangor, dengan pelumba Mohd Hafiq Jefri menjadi antara harapan utama kontinjen berbasikal negeri itu.
Naib Presiden 2 PBNM merangkap Exco Kebajikan Atlet PBNM Mohd Latiff Nan berkata, persiapan pasukan kini memasuki fasa akhir menerusi latihan intensif bagi memastikan semua atlet berada pada tahap terbaik menjelang temasya yang berlangsung dari 15 hingga 25 Ogos 2026.
Katanya, sasaran itu dibuat berdasarkan persiapan dan prestasi semasa atlet, selain mengambil kira pencapaian pasukan berbasikal Melaka yang meraih satu pingat gangsa pada SUKMA 2024 di Sarawak.
“Insya-Allah, kita sasarkan satu emas dan lebih pada SUKMA kali ini, antaranya melalui Mohd Hafiq. Kita telah membuat persiapan sebaik mungkin dan berharap usaha ini membuahkan hasil,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, sebagai persiapan akhir, PBNM melaksanakan program kayuhan sejauh kira-kira 240 kilometer bermula dari Tanjung Bidara, Masjid Tanah ke Johor Bahru sebelum pasukan meneruskan latihan bagi acara trek di Velodrom Iskandar Puteri.
“Latihan ini penting bagi meningkatkan tahap ketahanan, kecergasan dan momentum atlet sebelum mereka berdepan saingan di SUKMA XXII.
“Kita mahu memastikan atlet berada dalam keadaan terbaik dan bersedia memberikan saingan apabila temasya bermula nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Latiff turut merakamkan penghargaan kepada agensi bapa angkat, jabatan angkat, pihak korporat serta para penyumbang yang memberikan sokongan terhadap persiapan pasukan berbasikal Melaka.
“Sokongan ini penting dalam membantu pasukan menyediakan keperluan latihan serta memastikan kebajikan atlet sepanjang menghadapi persiapan ke SUKMA,” katanya.
Sumbangan korporat turut disampaikan Pengarah Live Consistant Sdn Bhd (LiCo Cafe Melaka), Hilaliah Mohamad dan Fatin Izzati Rosman.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


