MASUK PERCUMA 31 OGOS: ZOO MELAKA SEDIA SAMBUT PENGUNJUNG

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 12 Ogos – Zoo Melaka bersiap sedia menerima kehadiran orang ramai sempena kemasukan percuma pada Hari Kebangsaan, 31 Ogos ini dengan pelbagai persiapan telah dilakukan bagi memastikan kelancaran operasi serta keselamatan pengunjung.

Pengurus Zoo Melaka, Dr. Zahidah Izzati Zeid berkata, pihaknya menjangkakan berlaku lonjakan pengunjung pada hari berkenaan dan persiapan awal telah dilakukan bagi menguruskan aliran kemasukan serta keselesaan orang ramai.

Katanya, kemasukan percuma itu tidak mempunyai had jumlah pengunjung, namun pihaknya akan menguruskan aliran kemasukan berdasarkan kapasiti dan keadaan semasa bagi memastikan aspek keselamatan terus terpelihara.

“Zoo Melaka telah bersedia untuk 31 Ogos nanti dan kita merancang memulakan operasi seawal jam 9 pagi bagi memberi ruang serta peluang kepada orang ramai berkunjung sempena Hari Kebangsaan.

“Kita akan melihat keadaan pada hari tersebut dan membuat penyesuaian operasi sekiranya jumlah pengunjung meningkat,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Sambutan Hari Harimau Malaya di Zoo Melaka, baru-baru ini.

Menurutnya, waktu operasi pada tarikh berkenaan turut akan disesuaikan mengikut keadaan dan jumlah pengunjung, termasuk kemungkinan melanjutkan tempoh operasi sekiranya diperlukan.

Dr. Zahidah Izzati berkata, pengunjung juga perlu mengambil kira tempoh lawatan kerana mereka memerlukan sekurang-kurangnya sejam untuk menikmati keseluruhan kawasan Zoo Melaka.

“Kalau kita hadkan masa terlalu singkat, ada pengunjung yang belum sempat habis berjalan dalam Zoo Melaka.

“Jadi kita akan lihat keadaan pada hari tersebut dan sekiranya perlu, kita akan buat penyesuaian dari segi operasi bagi memastikan aliran pengunjung lebih lancar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan orang ramai merancang perjalanan lebih awal serta mematuhi arahan petugas Zoo Melaka bagi memastikan kemasukan percuma sempena Hari Kebangsaan berlangsung lancar dan selamat.

“Kita sarankan orang ramai datang lebih awal, merancang perjalanan dan sentiasa mematuhi arahan petugas bagi memastikan pengalaman berkunjung ke Zoo Melaka pada Hari Kebangsaan nanti lebih selesa dan menyeronokkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

671
Kongsi :
Previous post SUKMA: MELAKA SASAR EMAS BERBASIKAL, MOHD HAFIQ JADI SANDARAN
Next post ‘CANTIQ’ TAWAR RAWATAN ESTETIK IKUT KEPERLUAN KULIT