JELAJAH KETUA MENTERI: KREATIVITI ADUN SERLAH KEUNIKAN SETIAP DUN

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

REMBIA 12 Ogos – Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang kini sudah menjelajah 13 Dewan Undangan Negeri (DUN) terus mencapai objektifnya apabila ribuan masyarakat disantuni, selain pelbagai manfaat disalurkan berdasarkan keperluan setempat.

Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, pendekatan turun padang itu turut menyaksikan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mengambil pendekatan tersendiri dalam merangka program yang bersesuaian dengan komposisi dan keperluan masyarakat di kawasan masing-masing.

Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, setiap Adun diberikan panduan serta objektif yang jelas bagi pelaksanaan siri jelajah berkenaan, namun kaedah pelaksanaannya di peringkat kawasan disesuaikan mengikut keperluan setempat.

“Pendekatan atau strategi ini penting kerana komposisi masyarakat dan keperluan penduduk berbeza antara satu kawasan dengan kawasan lain.

“Jadi, setiap Adun mempunyai ruang untuk menentukan kaedah terbaik bagi menyantuni masyarakat dan mengenal pasti kumpulan yang perlu diberikan perhatian mengikut keperluan kawasan mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Rembia, pada Ahad.

Fairul Nizam berkata, perbezaan demografi antara DUN turut memerlukan pendekatan yang bersesuaian, umpamanya di DUN Machap Jaya, Asahan, Taboh Naning dan Rim yang mempunyai komuniti Orang Asli.

“Setiap DUN mempunyai komuniti dan kelompok masyarakat yang berbeza. Contohnya, DUN Machap Jaya dan Asahan mempunyai komuniti Orang Asli, manakala DUN lain pula mempunyai keperluan dan kelompok sasaran yang berbeza.

“Pendekatan berbeza inilah yang menjadikan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat lebih inklusif dan dekat dengan realiti setempat, sekali gus memastikan kumpulan masyarakat yang memerlukan tidak tercicir daripada perhatian Kerajaan Negeri,” katanya.

Tambahnya, selepas menjelajah 13 DUN, program berkenaan terus menjadi platform penting bagi Kerajaan Negeri turun padang, mengenal pasti keperluan rakyat serta menyalurkan bantuan berdasarkan keadaan dan demografi setiap kawasan.

Katanya, pendekatan itu membolehkan pelaksanaan program disesuaikan dengan keperluan sebenar masyarakat, sekali gus memastikan manfaat yang disalurkan memberi impak lebih bermakna kepada rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

602
Kongsi :
Previous post DATARAN NIAGA BAHARU JADI HAB KUIH TRADISIONAL TELOK MAS
Next post 59 WARGA ASING DITAHAN DALAM SERBUAN DI TAPAK PEMBINAAN