
DATARAN NIAGA BAHARU JADI HAB KUIH TRADISIONAL TELOK MAS
TELOK MAS 12 Ogos – Satu dataran niaga baharu sedang dibangunkan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sharifah Rodziah yang bakal menjadi pusat tumpuan dan hab keusahawanan baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pembangunan dataran tersebut masih dalam fasa akhir dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima bulan lagi.
Menurut beliau, apabila siap kelak, dataran niaga itu akan dibangunkan sebagai hab kuih tradisional dan produk tempatan dari Telok Mas.
“Konsep pembangunan dataran ini akan memberi fokus kepada peluang perniagaan kepada setiap Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dengan penyediaan ruang niaga khusus bagi memasarkan produk kuih tradisional masing-masing.
“Hasrat kita adalah untuk membuka peluang perniagaan bagi memasarkan kuih-kuih tradisional seperti dodol, kuih ros dan pelbagai lagi,” katanya dalam sesi Podcast Mana Lagi Melaka Ler bersama Melaka Hari Ini.
Abdul Razak yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan memelihara warisan makanan tradisional Melayu, malah membuka peluang pendapatan tambahan kepada penduduk setempat.
Katanya, usaha itu juga selaras dengan agenda memperkasa ekonomi komuniti melalui penglibatan langsung setiap kampung dalam aktiviti keusahawanan.
“Kita mahu kuih tradisional ini terus dipelihara dan pada masa sama memberi peluang pendapatan kepada penduduk kampung,” ujarnya.
Beliau berkata, projek berkenaan dijangka menjadi salah satu tarikan baharu di Telok Mas yang menggabungkan elemen warisan, makanan tradisional dan aktiviti ekonomi komuniti dalam satu lokasi.
Pada masa sama, ujar beliau, dataran tersebut juga berpotensi menjadi platform penting dalam memperkenalkan produk tempatan kepada pengunjung luar serta pelancong yang datang ke Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

