59 WARGA ASING DITAHAN DALAM SERBUAN DI TAPAK PEMBINAAN

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BUKIT KATIL 12 Ogos – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka menahan 59 warga asing dalam serbuan Ops Kutip di tapak pembinaan di Bukit Baru dan Bukit Beruang, hari ini.

Operasi bersepadu dilaksanakan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka itu bermula pada jam 10.50 pagi.

Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, dalam operasi berkenaan, seramai 73 individu termasuk warga tempatan telah diperiksa.

Katanya, daripada jumlah berkenaan, seramai 59 warga asing termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berusia antara 10 hingga 54 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada 44 warga Bangladesh, sembilan warga Indonesia termasuk kanak-kanak berkenaan, tiga warga Myanmar dan tiga warga Pakistan.

“Antara kesalahan yang disyaki dilakukan ialah tidak memiliki pas yang sah untuk berada dan tinggal di Malaysia di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Selain itu, mereka turut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana berada di Malaysia selepas tamat tempoh pas serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata semua individu yang ditahan kemudiannya dibawa dan ditempatkan di Depot Imigresen Machap Umboo, Alor Gajah untuk tindakan lanjut.

Dalam perkembangan sama, JIM Melaka memaklumkan akan terus mempergiat penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), warga asing yang melanggar syarat pas serta majikan atau pemilik premis yang mengambil pekerja dan membenarkan PATI masuk dan tinggal di premis mereka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1151
Kongsi :
Previous post JELAJAH KETUA MENTERI: KREATIVITI ADUN SERLAH KEUNIKAN SETIAP DUN