GELANGGANG BADMINTON SATUKAN WANITA

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 13 Ogos – Penglibatan aktif golongan wanita dalam bidang sukan bukan sahaja membantu meningkatkan tahap kecergasan fizikal, malah membentuk disiplin, daya tahan serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli pertubuhan wanita.

Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Negeri Melaka Datin Wira Rushaslinda Muhammad berkata, aktiviti sukan juga menjadi platform penting dalam membina semangat kerjasama dan kesukanan dalam kalangan wanita.

“Justeru itu, PUSPANITA Cawangan Negeri Melaka menganjurkan pertandingan badminton sebagai wadah untuk memperkukuh semangat kesukanan serta mengeratkan hubungan dalam kalangan ahli pertubuhan wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertandingan Badminton Piala YABhg Toh Puan Datuk Wira (Dr.) Hajah Asmah Abd Rahman Tahun 2026 di Mini Stadium Bistari, pada Sabtu lalu.

Pertandingan berkenaan dirasmikan isteri Yang di-Pertua Negeri Melaka, Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman dan turut dihadiri Pengerusi Biro Sukan PUSPANITA Cawangan Negeri Melaka Norzairah Sulaiman.

Katanya, penglibatan wanita dalam aktiviti sukan membuktikan golongan itu bukan sahaja aktif dalam pembangunan keluarga dan masyarakat, malah mampu menyerlah dalam bidang sukan dan rekreasi.

“Penglibatan seumpama ini membuktikan bahawa golongan wanita hari ini bukan sahaja aktif dalam pembangunan keluarga dan masyarakat, malah turut cemerlang dalam bidang sukan dan rekreasi.

“Menang atau kalah bukan ukuran utama kejayaan. Sebaliknya, semangat persahabatan, rasa hormat terhadap lawan dan kesungguhan untuk memberikan persembahan terbaik adalah nilai sebenar yang perlu kita junjung,” katanya.

Menurutnya, PUSPANITA Cawangan Negeri Melaka sebelum ini pernah menjadi juara kejohanan badminton pada tahun 2024 dan seterusnya diberi kepercayaan untuk menjadi tuan rumah bagi edisi 2026.

“Objektif utama kejohanan ini ialah mewujudkan pertandingan sukan dalam kalangan ahli-ahli persatuan gabungan NCWO, memupuk semangat kesukanan serta mengeratkan hubungan silaturahim antara kepimpinan.

“Tanpa komitmen dan kerjasama semua pihak, sudah tentu kejohanan ini tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

303
Kongsi :
Previous post 59 WARGA ASING DITAHAN DALAM SERBUAN DI TAPAK PEMBINAAN