
LPM TERIMA LEBIH 200 PERMOHONAN BAGI PROGRAM MELAKA RUMAHKU
AYER KEROH 15 Ogos – Lebih 200 permohonan diterima Lembaga Perumahan Melaka (LPM) membabitkan bina baru dan baik pulih kediaman dibawah Program Melaka Rumahku dalam tempoh dua tahun.
Pengarah Eksekutif LPM Datuk TPr. Murad Husin berkata, saban tahun pihaknya akan menerima permohonan bagi pelaksanaan itu yang menjadi antara tanggungjawab pihaknya menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Menurutnya, setiap permohonan yang dikemukakan kepada LPM akan diteliti sebelum dibawa didalam mesyuarat dan kelulusan dibuat oleh jawatankuasa.
“Sepanjang 2025 sehingga 2026 LPM telah menerima 117 permohonan untuk bina baru kediaman manakala 96 permohonan bagi baik pulih kediaman.
“Daripada jumlah itu, 67 permohonan telah diluluskan untuk bina baru manakala 85 permohonan lagi bagi baik pulih kediaman sejak 2025 sehingga sekarang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut TPr. Murad, LPM akan terus berusaha memperluaskan pelaksanaan projek bina baharu dan baik pulih kediaman di seluruh Melaka bagi memastikan lebih ramai golongan yang layak menerima manfaat.
“Setiap tahun LPM akan memperuntukkan sejumlah perbelanjaan yang mana kelulusan permohonan dibuat adalah berdasarkan perbelanjaan diluluskan menerusi bajet.
“Untuk tempoh dua tahun ini sejumlah RM2.87 juta dibelanja untuk kesemua 67 permohonan yang diluluskan bagi bina baru kediaman manakala kira-kira RM1.2 juta bagi baik pulih kediaman,” katanya.
Jelasnya, LPM bukan sekadar merancang dan menyelaras projek perumahan, tetapi memastikan dasar kerajaan membuka jalan kepada lebih ramai keluarga untuk memiliki kediaman yang selesa, selamat serta mampu dimiliki.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


