
MOOD MERDEKA BERMULA DARI PINTU GERBANG, MPHTJ HIAS LALUAN MASUK KE MELAKA
AYER KEROH 15 Ogos – Aspek kebersihan dan landskap sepanjang laluan masuk ke Melaka diberikan perhatian oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) bagi memastikan wajah negeri ini sentiasa kemas dan terurus.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron berkata, perkara itu perlu diberi perhatian berikutan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini yang bakal menyaksikan peningkatan pergerakan orang ramai termasuk pengunjung ke Melaka.
Katanya, aspek penyelenggaraan pokok di sepanjang laluan utama juga perlu diberi perhatian bagi memastikan ia tidak menghalang papan tanda, lampu isyarat atau berada pada paras yang boleh mengganggu kabel elektrik.
“Sempena Bulan Kebangsaan ini, saya mahu warga kerja MPHTJ terus menghayati semangat kemerdekaan dengan memberikan perkhidmatan yang berintegriti dan sentiasa mengutamakan kepentingan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MPHTJ bagi Ogos 2026 anjuran Jabatan Korporat Pembangunan Masyarakat dan Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat MPHTJ di Melaka Mall, di sini, pada Rabu lalu.
Menurutnya, warga kerja MPHTJ perlu memastikan setiap perkara yang boleh menjejaskan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya dikenal pasti serta diambil tindakan segera.
“Justeru, saya mahu setiap teguran berkaitan penyelenggaraan di kawasan pentadbiran MPHTJ diberi perhatian dan tindakan segera tanpa menunggu perkara itu menjadi lebih serius,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


