KEMPEN KIBAR JALUR GEMILANG SUNTIK SEMANGAT PATRIOTIK RAKYAT MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 16 Ogos – Kempen mengibarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan yang dianjurkan Jabatan Penerangan (JaPen) Melaka bukan sahaja menarik perhatian malah menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan pengunjung dan pekerja sebuah pasaraya di sini.

IMG 20260816 WA0010
AZHAR.

Bagi pengunjung, Azhar Samsudin 62, berkata kemeriahan program itu secara tidak langsung mengingatkan dirinya mengenai pentingnya menghargai keamanan dan kemerdekaan yang dinikmati rakyat Malaysia sehingga hari ini.

“Pada saya program seperti ini memberi peluang kepada kita (pengunjung) bersama-sama meraikan Bulan Kebangsaan dalam suasana lebih santai, sekali gus terasa semangat kemerdekaan itu.

“Bagi saya mengibarkan Jalur Gemilang adalah simbol mudah tetapi mempunyai makna besar kerana ia menunjukkan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia,”katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang X Jago Melaka 2026 di sebuah pasaraya, di sini, semalam.

IMG 20260816 WA0007
SITI Danasuria( kiri) dan Nora Nazmi.

Sementara itu, bagi pekerja pasaraya, Siti Danasuria Md Isa, 41, berkata, program seumpama itu wajar diteruskan kerana mampu mendekatkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

Katanya, kempen kibar Jalur Gemilang tidak seharusnya tertumpu kepada acara rasmi sahaja sebaliknya boleh diraikan melalui penglibatan masyarakat di lokasi tumpuan seperti pasaraya.

“Apabila program seperti ini datang kepada masyarakat, kita lebih mudah untuk turut serta dan merasai kemeriahannya. Ia juga menjadi peluang untuk kita mengajak orang sekeliling bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya.

Nada sama turut disuarakan pekerja pasaraya Nora Nazmi Nordin 28, berkata, meskipun program berbentuk kempen itu dilakukan secara santai namun makna dan impak di sebaliknya dirasai apabila agihan Jalur Gemilang dilakukan dan semua bangsa dapat menyanyikan lagu patriotik bersama-sama.

“Sebagai pekerja yang berhadapan dengan orang ramai setiap hari, saya rasa seronok apabila dapat melihat masyarakat daripada pelbagai kaum bersama-sama menyokong program seperti ini. Harapan saya supaya semangat perpaduan dan cinta akan negara terus dipupuk, bukan sahaja pada bulan kemerdekaan tetapi sepanjang masa,” katanya.

Kembara Merdeka Jalur Gemilang X Jago Negeri Melaka merupakan antara inisiatif menyemarakkan Bulan Kebangsaan serta menggalakkan masyarakat menghayati semangat patriotisme dan perpaduan yang mana program berkenaan turut menjadi platform mendekatkan mesej kenegaraan dengan masyarakat menerusi aktiviti di lokasi tumpuan awam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

413
Kongsi :
Previous post SHADAN DILANTIK KOMANDER REJIMEN 514 ASKAR WATANIAH
Next post KRT SUTERA WANGI AKTIF SATUKAN PENDUDUK, TANGANI ISU TAMAN