
KRT SUTERA WANGI AKTIF SATUKAN PENDUDUK, TANGANI ISU TAMAN
AYER KEROH 16 Ogos – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sutera Wangi Fasa Baru, Batu Berendam terus mempergiat aktiviti kemasyarakatan sebagai usaha mengeratkan hubungan penduduk selain menjadi penghubung dalam menangani isu setempat.
Pengerusi KRT Taman Sutera Wangi Fasa Baru, Ahmad Tarmizi Abdul Hadi berkata, hubungan erat antara penduduk penting bagi memastikan setiap permasalahan yang berlaku di kawasan perumahan dapat dikenal pasti dan ditangani secara bersama.
Menurutnya, antara isu yang sebelum ini dibangkitkan penduduk termasuk gangguan anjing liar dan monyet liar yang memerlukan perhatian serta kerjasama semua pihak.
“Apabila hubungan antara penduduk rapat, lebih mudah untuk kita mengenal pasti masalah yang berlaku dan mencari jalan penyelesaian bersama.
“Kita mahu KRT terus menjadi penghubung antara penduduk dengan pihak berkaitan supaya aspek kebajikan dan keselamatan komuniti sentiasa diberi perhatian,” katanya pada Program Komuniti Sihat, Kukuh dan Cinta Negara (3 Dalam 1) di Padang Bola Sepak Taman Sutera Wangi Fasa Baru, Batu Berendam, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Balai Polis Batu Berendam, Sub Inspektor Rahmad Khamis; Pegawai Perpaduan Daerah Melaka Tengah, Nadiatul Ain Md Sharif dan Timbalan KRT Taman Sutera Wangi Fasa Baru, Lim Boon Liang.
Ahmad Tarmizi berkata, program berkenaan pada asalnya dirancang sebagai aktiviti sukan sebelum diperluaskan dengan penglibatan agensi berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“KKM melalui Klinik Kesihatan Batu Berendam menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan kepada penduduk, manakala wakil Balai Polis Batu Berendam pula menyampaikan taklimat berkaitan aspek keselamatan.
“Penglibatan pelbagai agensi ini memberi manfaat kepada penduduk kerana mereka bukan sahaja dapat beriadah dan mengeratkan hubungan, malah memperoleh maklumat berkaitan kesihatan serta keselamatan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Tarmizi berkata, KRT turut mengambil peluang sempena bulan kebangsaan untuk menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan penduduk dengan mengagihkan 100 Jalur Gemilang bagi memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan 2026.
“Kita berharap program seperti ini dapat diteruskan secara berkala kerana ia bukan sahaja mengeratkan hubungan penduduk, tetapi mewujudkan komuniti yang lebih prihatin, saling membantu dan peka terhadap isu di persekitaran mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


