‘IBU CUMA MAHU AIRA SEMBUH, KEMBALI CERIA’

Masa Membaca:3 Minit, 27 Saat

AYER LIMAU 16 Ogos – Di sebalik senyuman dan semangat seorang kanak-kanak berusia enam tahun, tersimpan perjuangan getir melawan kanser limfoma tahap tiga yang mengubah rutin hidupnya daripada aktif bermain bola jaring kepada menjalani rawatan kemoterapi.

Nur Aira Melissa Muammar Haziq, 6, sebelum ini seorang kanak-kanak yang aktif ke sekolah dan bermain bola jaring, namun kehidupannya berubah selepas disahkan menghidap kanser limfoma pada Mei lalu.

Kini, Aira terpaksa melupakan seketika aktiviti kegemarannya termasuk ke sekolah dan bermain bersama rakan-rakan bagi memberi tumpuan kepada rawatan yang masih berbaki.

Bagi ibunya, Norain Asridahayu Nazri, 31, tiada impian yang lebih besar selain melihat anak sulung daripada dua beradik itu kembali sihat, ceria dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.

“Harapan saya sebagai seorang ibu tiada perkara lain, cuma mahu anak sembuh sepenuhnya. Saya mahu lihat dia buat aktiviti macam sebelum ini, pergi sekolah dan bermain semula.

“Saya cuma mahu Aira kembali ceria seperti dahulu,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di kediamannya di Taman Sri Aman, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Menurut Norain, dia tidak pernah menyangka perubahan kecil pada tubuh Aira pada Mei lalu menjadi permulaan kepada ujian besar buat keluarganya.

Katanya, Aira masih ke sekolah seperti biasa pada sebelah pagi sebelum dia menyedari perut anaknya membengkak pada petang hari yang sama.

“Tidak ada tanda-tanda sebelum itu. Dia memang aktif bermain bola jaring di sekolah dan tidak pernah mengadu cepat penat atau lemah. Pagi itu dia masih pergi sekolah seperti biasa, petang itu baru saya perasan perut dia membesar dengan tiba-tiba,” katanya.

Norain berkata, pemeriksaan awal di Klinik Kesihatan Masjid Tanah sebelum Aira dirujuk ke Hospital Melaka membawa kepada penemuan yang mengubah kehidupan mereka apabila doktor mengesyaki kanser.

Katanya, keputusan biopsi yang diterima lebih seminggu kemudian mengesahkan Aira menghidap kanser limfoma tahap tiga sebelum dirujuk untuk mendapatkan rawatan lanjut di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya.

“Memang pada mulanya kami sukar terima sebab Aira tidak pernah mengadu sakit atau penat. Kami tidak sangka keadaannya boleh jadi begini.

“Tetapi kami kena reda kerana ini ujian yang Allah SWT berikan dan sebagai ibu bapa, kami akan lakukan apa sahaja yang termampu untuk pastikan dia terus mendapat rawatan,” katanya.

6055400165465592273
NUR Aira Melissa Muammar Haziq, 6, (kiri) yang menghidapi kanser limfoma tahap tiga bersama adiknya, Luth Hazzar Muammar Haziq, 3, ketika ditemui di Taman Sri Aman, Masjid Tanah. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Menurut Norain, keadaan Aira pernah kritikal sehingga terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira dua minggu selepas paras oksigen dalam badannya menurun.

Bagaimanapun, katanya, Aira tetap menunjukkan semangat untuk melawan penyakit itu dan sering bertanya bila dia boleh kembali ke sekolah serta melakukan aktiviti kegemarannya.

Menurutnya, Aira perlu menjalani enam kitaran kemoterapi dengan satu kitaran setiap bulan, manakala rawatan diberikan setiap hari selama kira-kira seminggu bagi setiap kitaran.

“Selepas kemoterapi, bacaan darah dia akan menurun dan dia menjadi lemah. Tetapi apabila sudah kembali baik, Aira akan aktif semula. Cuma sekarang dia tidak boleh bermain bola jaring dan pergi sekolah buat sementara waktu,” katanya.

Norain berkata, suaminya, Muammar Haziq Bahrim, 32, turut mengambil cuti daripada tugas sebagai pemandu lori bagi membantu menjaga Aira sepanjang tempoh rawatan.

Katanya, keadaan itu turut memberi cabaran kepada keluarga kerana mereka perlu menanggung pelbagai keperluan sepanjang rawatan Aira yang masih berbaki, namun segala kesukaran itu diketepikan demi memastikan anaknya mendapat rawatan terbaik dan kembali sihat.

“Bagi saya dan suami, apa sahaja yang perlu dilakukan untuk Aira, kami akan buat. Kami cuma mahu dia sembuh. Bila tengok dia senyum dan masih bersemangat, itu sudah cukup untuk kami terus kuat,” katanya.

Dalam pada itu, Norain turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) atas sumbangan RM30,000 yang disalurkan bagi membantu meringankan kos rawatan Aira selain menerima bantuan makanan sebanyak RM300 setiap bulan.

“Saya sangat berterima kasih kepada MAIM dan semua pihak yang membantu kami. Sedikit sebanyak bantuan ini dapat meringankan beban keluarga sepanjang Aira menjalani rawatan,” katanya.

Orang ramai yang ingin berkongsi rezeki dan membantu menampung kos rawatan Aira boleh menghubungi ibunya, Norain Asridahayu Nazri di talian 019-3141656.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

623
Kongsi :
Previous post KRT SUTERA WANGI AKTIF SATUKAN PENDUDUK, TANGANI ISU TAMAN