OUM PILIHAN WARGA KERJA, OKU BINA KERJAYA SAMBIL BELAJAR

Masa Membaca:3 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 17 Ogos – Pembelajaran fleksibel, yuran pengajian yang kompetitif serta kemudahan pembelajaran dalam talian menjadikan Open University Malaysia (OUM) antara pilihan utama golongan bekerja yang ingin meningkatkan kelayakan akademik tanpa perlu meninggalkan kerjaya.

Lebih istimewa, pendekatan pembelajaran fleksibel yang ditawarkan OUM turut membuka peluang kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk melanjutkan pengajian tinggi mengikut kemampuan, keadaan fizikal dan komitmen masing-masing.

Bakal pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Chua Pui Hong, 31, berkata, dia akan memulakan pengajiannya di OUM Melaka pada semester September ini selepas membuat perbandingan dengan beberapa institusi pengajian tinggi dan mendapati OUM menawarkan pendekatan yang paling memenuhi keperluannya.

Menurutnya, lokasi kampus yang mudah diakses, kemudahan pembelajaran dalam talian serta kos pengajian yang berpatutan menjadi faktor utama beliau memilih OUM untuk merealisasikan impiannya melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan.

“Bagi saya, OUM merupakan pilihan terbaik kerana lokasinya yang strategik, pembelajaran dalam talian serta skim diskaun 50 peratus yuran pengajian bagi golongan OKU yang membantu meringankan beban kewangan saya. Pada masa yang sama, saya masih boleh bekerja sambil belajar.

“Cabaran utama ialah pengurusan masa kerana saya perlu membahagikan komitmen antara pekerjaan dan pengajian. Namun, fleksibiliti jadual pembelajaran membolehkan saya belajar pada hujung minggu dan waktu malam selepas bekerja.

“Selain itu, rakaman eTutorial turut disediakan bagi membolehkan pelajar mengakses semula sesi pembelajaran sekiranya tidak dapat menghadiri kelas, sekali gus memudahkan proses ulang kaji,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Chua, keputusan untuk menyambung pengajian bukan sekadar bagi memperoleh kelayakan akademik, malah merupakan langkah penting dalam merealisasikan cita-citanya untuk menjadi ahli Malaysian Institute of Accountants (MIA).

“Selepas menjalani pembedahan ketika berusia 14 tahun, keupayaan berjalan saya terjejas. Ketika itu saya mula memikirkan masa depan dan menyedari bahawa pendidikan adalah kunci untuk membina kehidupan yang lebih baik.

“Sebab itu saya tidak pernah berputus asa untuk terus menimba ilmu walaupun berdepan cabaran fizikal,” katanya.

Dia turut berkongsi pengalaman berdepan penolakan dalam beberapa sesi temu duga pekerjaan, namun menganggap pengalaman tersebut sebagai pembakar semangat untuk terus meningkatkan ilmu, kemahiran dan kelayakan.

“Jika satu tempat tidak menerima saya, saya akan terus mencari peluang lain. Saya yakin ilmu dan pendidikan mampu membuka lebih banyak peluang dalam kerjaya,” katanya.

Tambahnya, sokongan keluarga dan majikan menjadi sumber kekuatan untuk meneruskan pengajian, selain menganggap pendidikan sebagai pelaburan terbaik dalam meningkatkan taraf hidup serta membina masa depan yang lebih cerah.

“Saya berharap masyarakat tidak memandang seseorang OKU sebagai tidak mampu hanya kerana keadaan fizikal. Kekurangan fizikal tidak bermaksud kami kekurangan dari segi mental, ilmu atau kemampuan,” katanya.

Chua turut menyifatkan kemudahan dan pendekatan pembelajaran fleksibel yang disediakan oleh OUM sebagai sokongan penting kepada golongan bekerja dan OKU untuk melanjutkan pengajian tanpa mengabaikan komitmen sedia ada.

OUM menawarkan 64 program pengajian dari peringkat diploma hingga pascasiswazah melalui pendekatan pembelajaran fleksibel dan 100% dalam talian. Terdapat dua laluan utama untuk menyambung pengajian di Open University Malaysia (OUM). Laluan pertama ialah laluan akademik, iaitu kemasukan berdasarkan kelayakan akademik yang dimiliki seperti SPM, STPM, diploma atau kelayakan lain yang diiktiraf.

Laluan kedua ialah kemasukan fleksibel melalui Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) bagi individu yang mempunyai pengalaman kerja tetapi tidak memenuhi syarat kelayakan akademik secara konvensional.

APEL.A membolehkan calon menggunakan pengalaman kerja untuk melayakkan diri memasuki program pengajian, serta APEL.Q, mengiktiraf pengalaman dan pembelajaran terdahulu untuk memperoleh kelayakan akademik melalui proses penilaian yang ditetapkan. Melalui kedua-dua laluan ini, OUM membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk melanjutkan pengajian mengikut kelayakan dan pengalaman masing-masing.

Jadikan OUM Melaka institusi pilihan anda – kerana kejayaan sebenar bermula dengan satu langkah kearah ilmu.

Untuk mengetahui mengenai program-program yang ditawarkan oleh OUM dengan lebih lanjut, layari www.oum.edu.my, atau hubungi OUM Melaka di 06-292 1852/WhatsApp 019-2181 851.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

538
Kongsi :
Previous post POLIS SIASAT KES LELAKI DITUMBUK BERKAITAN TAPAK NIAGA