
TOK RAUF PESAN JANGAN BIAR ‘AI’ ASUH HIDUP ANAK-ANAK
TANJUNG BIDARA 17 September – Generasi muda perlu dididik untuk menguasai kecerdasan buatan (AI), bukannya membiarkan teknologi itu mengambil alih peranan manusia dalam membentuk kehidupan dan keperibadian mereka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkembangan teknologi yang begitu pantas menuntut ibu bapa, penjaga dan guru memastikan anak-anak mempunyai asas nilai kemanusiaan yang kukuh bagi mendepani perubahan masa depan.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, AI mungkin mempengaruhi sehingga 75 peratus kehidupan manusia pada masa akan datang, namun teknologi berkenaan tidak mempunyai perasaan, kasih sayang dan kebijaksanaan seperti manusia.
“Jangan bergantung kehidupan kepada dunia AI kerana teknologi ini tidak ada perasaan, tidak ada kebijaksanaan, tidak ada kasih dan sayang. Ia hanyalah kecerdasan buatan yang mengumpulkan data dan maklumat manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Powering Knowledge STEM Discovery @ School 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Bidara, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor.
Turut hadir Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan Mohd Zaki Mahat; Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Alor Gajah Ab Malek Kasim dan Guru Besar SK Tanjong Bidara Mohd Nasri Sahat.
Menurutnya, penggunaan peranti seperti telefon, tablet dan iPad tidak seharusnya dijadikan pengganti kepada kasih sayang serta didikan ibu bapa dalam membentuk karakter anak-anak.
“Jangan pindahkan kasih sayang kita kepada peranti-peranti telefon ataupun tablet. Kalau anak menangis, jangan jadikan gajet ini sebagai cara untuk menenangkan mereka setiap masa.
“Kalau kita mengasuh anak menggunakan teknologi, esok mereka mungkin menggunakan teknologi untuk menjaga kita. Tidak ada lagi belaian kasih sayang dan nilai tanggungjawab,” katanya.
Ab Rauf berkata, pengalaman hidup yang dilalui seseorang sejak kecil menjadi asas kepada pembentukan dirinya apabila dewasa, justeru nilai kehidupan tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada teknologi.
Beliau turut berkongsi pengalaman dibesarkan sebagai anak jati kampung dengan kehidupan yang sarat aktiviti bersama keluarga, termasuk membantu bapanya menguruskan ternakan, menghadiri sekolah agama dan mengaji al-Quran.
“Pengalaman ini membentuk kehidupan dan keperibadian saya sehingga hari ini, justeru saya mengingatkan bahawa pendidikan anak-anak perlu diseimbangkan dengan kemajuan teknologi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


