LEBIH RM7.5 JUTA MANFAATKAN 5,775 PENERIMA BANTUAN MESRA KEBAJIKAN

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

TANJUNG BIDARA 17 September – Kerajaan Negeri telah menyalurkan sebanyak RM7.53 juta menerusi pelbagai jenis bantuan yang memberikan manfaat buat 5,775 penerima bantuan seluruh Melaka, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, setakat Julai lalu  sebanyak RM4.45 juta disalurkan kepada 2,439 penerima menerusi Bantuan MeSRa Am Kebajikan dan komitmen itu turut diperkasa menerusi Bantuan MeSRa Lampin Pakai Buang dan Bantuan MeSRa Susu Orang Terlantar dengan peruntukan lebih RM3.08 juta.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, Bantuan MeSRa Lampin Pakai Buang dan Bantuan MeSRa Susu Orang Terlantar memberikan manfaat kepada kepada 3,345 penerima membabitkan ketiga-tiga daerah di Melaka.

“Usaha memperluas jaringan kebajikan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan golongan yang memerlukan tidak terpinggir daripada arus pembangunan negeri.

“Nyata,semua ini membawa satu mesej yang cukup jelas; kebajikan rakyat akan terus menjadi sebahagian penting daripada agenda pembangunan Melaka, kerana kita mahu kemajuan negeri ini bergerak dengan penuh ihsan, menyeluruh dan berteraskan semangat kebersamaan hingga ke akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Warga Emas, Hari Orang Kurang Upaya dan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di Villa D’Aqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama isteri Ketua Menteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin.

Turut hadir barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka Halyjah Muhamad.

Ab Rauf berkata, segala usaha berkenaan berakar daripada gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang menjadi pegangan pentadbiran Kerajaan Negeri dan bukan sekadar slogan, sebaliknya amanah yang perlu diterjemahkan melalui tindakan.

“Kerajaan Negeri akan terus memastikan aspek kebajikan diberi perhatian seiring dengan usaha membangunkan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

371
Kongsi :
Previous post WARGA EMAS, ANAK AUTISME ANTARA AGENDA KEBAJIKAN KERAJAAN NEGERI
Next post TOK RAUF PESAN JANGAN BIAR ‘AI’ ASUH HIDUP ANAK-ANAK