ASNAF MUALAF DIUJI, MAIM TERUS DEKATI

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

PANTAI KUNDOR 17 September – “Ada masanya kalau sakit orang akan lari atau menjauhkan diri, tetapi Balai Islam Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) semakin dekat dan sentiasa bertanya khabar.”

Itu luahan penuh penghargaan asnaf mualaf, Muhd Alif Firdaus Choww, 60, yang tersentuh dengan keprihatinan Bahagian Balai Islam MAIM, yang terus menziarahinya meskipun dirinya kini berdepan pelbagai masalah kesihatan.

Bapa kepada lima anak itu antara penerima zakat wakalah yang disantuni Bahagian Balai Islam MAIM bersama AmanahRaya Cawangan Melaka menerusi program Ziarah Kasih dan Penyerahan Zakat Wakalah AmanahRaya Bersama Asnaf Mualaf Tahun 2026 di kediamannya di Kampung Pantai Kundor, di sini, baru-baru ini.

Muhd Alif Firdaus kini diuji dengan masalah kesihatan termasuk asma, masalah prostat dan glaukoma yang menjejaskan penglihatannya sehingga membataskan pergerakan serta aktiviti hariannya.

Katanya, kunjungan berkenaan amat bermakna kerana bukan sahaja membawa bantuan, malah membuatkan dirinya berasa dihargai dan tidak dilupakan.

“Sedih, terharu dan gembira semua ada apabila menerima kunjungan ini. Sedikit sebanyak hilang rasa sakit yang ditanggung.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Bahagian Balai Islam kerana selalu bertanya khabar dan sudi menziarahi saya,” katanya.

Hadir sama, Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam MAIM, Mohd Nasir Wahab dan Ketua Cawangan AmanahRaya Melaka, Norsuhaila Tompang.

Muhd Alif Firdaus berkata, bantuan zakat wakalah yang diterima turut membantu meringankan beban kewangan terutama bagi menampung perbelanjaan rawatan susulan di hospital.

Katanya, dia kini tidak lagi mempunyai pendapatan, sekali gus menjadikan bantuan yang disalurkan MAIM amat bermakna buat dirinya dan keluarga.

“Boleh katakan perbelanjaan agak tinggi kerana ada masanya perlu pergi ke hospital untuk rawatan susulan. Sekurang-kurangnya bantuan ini dapat membantu.

“Saya amat hargai bantuan dan sumbangan yang disalurkan ini. Besar maknanya kerana ia amat membantu,” katanya.

Menurutnya, keadaan kesihatan yang semakin merosot turut menyebabkan dia dan isterinya, Hasnah Manan, 50, tidak lagi dapat mengikuti kelas serta aktiviti di Kompleks Darul Huda, Balai Islam seperti sebelum ini.

“Dulu saya boleh pergi kelas dan sertai program yang diadakan, tetapi kini masalah penglihatan menyebabkan saya tidak boleh lagi memandu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

506
Kongsi :
Previous post IBU JADI INSPIRASI ‘BALAU’ BURU  KEJAYAAN  DI BALAPAN
Next post PADANG KEMUNTING IKON PELANCONGAN PENYU TERCANTIK NEGARA