
IBU JADI INSPIRASI ‘BALAU’ BURU KEJAYAAN DI BALAPAN
TANJUNG BIDARA 17 September – Atlet olahraga para Melaka Muhammad Hafiq Hizwan Norizan, 29, atau lebih popular dengan panggilan ‘Balau’ menggunakan bakat dimiliki dalam bidang sukan untuk membanggakan serta menghargai insan paling disayangi dalam hidup, iaitu ibunya.
Katanya, meskipun tidak bersinar dalam bidang akademik dia memanfaatkan setiap saat ketika beraksi di balapan untuk bergelar juara kerana baginya setiap pencapaian diraih adalah hadiah amat bermakna buat ibunya yang lebih mesra dengan panggilan ‘mak’ yang tidak pernah jemu menyokongnya.
Dia berkongsi kegembiraan dan meluahkan rasa syukur atas Anugerah Tokoh OKU (Sukan) Negeri Melaka yang diterima dan dianggap sebagai satu penghargaan amat bermakna selepas melalui pelbagai cabaran sejak bergelar orang kurang upaya (OKU) hampir 11 tahun lalu akibat kemalangan.
Lebih manis, pengiktirafan itu hadir selepas Balau mencipta tiga rekod baharu dalam acara 100, 200 dan 400 meter pada Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 baru-baru ini, sekali gus membuka lembaran baharu buat dirinya untuk melakar kejayaan lebih besar.
“Sebagai anak sulung, insya-Allah pencapaian ini boleh menjadi contoh kepada adik-adik. Sebelum ini saya tidak dapat membanggakan mak daripada segi pelajaran, jadi mungkin melalui sukan ini saya boleh buktikan kepada mak bahawa saya juga mampu berjaya,” katanya.
Terdahulu, Balau menerima pengiktirafan berkenaan pada Sambutan Hari Warga Emas, Hari Orang Kurang Upaya dan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Villa D’Aqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Anak kelahiran Klebang itu berkata, dia tidak menyangka kejayaan mencipta tiga rekod baharu pada Para SUKMA 2026 membawa kepada pengiktirafan berkenaan daripada Kerajaan Negeri.
“Lepas habis SUKMA saya terima panggilan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mahu membantu saya mendapatkan pengiktirafan ini.
“Saya memang tidak sangka akan menerima pengiktirafan ini. Saya cuma minta Allah permudahkan urusan, tetapi rezeki yang diberikan jauh lebih besar daripada apa yang saya harapkan,” katanya.
Berkongsi perancangan akan datang Balau berkata, dia akan memberikan lebih tumpuan kepada latihan untuk memburu kelayakan ke World Championship di Uzbekistan pada Julai 2027.
“Saya akan teruskan latihan kerana mahu layak ke World Championship dan Para ASEAN Kuala Lumpur. Untuk World Championship, sasaran saya adalah acara 100 meter. Jadi saya mungkin berehat sebentar daripada mencipta kandungan di TikTok,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

