
‘GPS FINDER’ KURANGKAN RISIKO NELAYAN SESAT, BANTU KESAN LUBUK IKAN
TANJUNG BIDARA 18 September – Sumbangan ‘GPS Finder’ daripada Kerajaan Negeri bakal mengurangkan risiko nelayan tersesat akibat gagal mengesan daratan ketika keluar mencari rezeki di laut berikutan pemandangan terhalang disebabkan faktor cuaca dan jerebu.
Mohd Fazli Baba, 43, meluahkan rasa syukur kerana komuniti di Balai Nelayan Pasir Gembur menjadi penerima awal alat berkenaan di negeri ini.
Dia mengakui pernah menempuh pengalaman mendebarkan selepas gagal mengesan daratan ketika keluar menangkap ikan di laut dan tersasar hingga ke Pantai Puteri yang jaraknya dianggarkan kira-kira 20 kilometer dari Balai Nelayan Pasir Gembur.
“Ada juga rakan nelayan yang tersasar hingga ke Pulau Besar dan mengambil masa yang lama untuk pulang ke Pasir Gembur. Pada kebiasaan kami menjadikan rumah api di Kompleks Falak Al-Khawarizmi sebagai panduan, namun faktor cuaca menyukarkan kami mencari jalan pulang.
“Alhamdulillah selepas ini jika keluar pada waktu malam tidak lagi terlalu risau kerana kami boleh berpandukan kepada GPS untuk pulang ke balai nelayan,” katanya.
Beliau berkata ketika ditemui pada Sesi Taklimat Pembinaan Balai Nelayan Baharu Pasir Gembur, Penyampaian Sumbangan Nelayan Dan Sumbangan Insentif Belanja Rakyat bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di tapak pembinaan Balai Nelayan Baharu, Pasir Gembur, di sini, hari ini.
Terdahulu Ketua Menteri yang diiringi Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas menyempurnakan gimik perasmian pembinaan balai nelayan berkenaan.
Sementara itu seorang lagi nelayan Mustaffa Chik Man, 60, juga meluahkan rasa terima kasih ke Ketua Menteri atas pembinaan balai nelayan baharu dan sumbangan GPS Finder.
Katanya, alat dwi fungsi itu juga amat membantu nelayan untuk mengesan lubuk ikan, sekali gus pulang dengan hasil tangkapan lebih lumayan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


