MASJID 115 TAHUN PENGKALAN BALAK KEMBALI ‘BERCAHAYA’ HASIL USAHA TOK RAUF

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

TANJUNG BIDARA 18 September – Masjid Al-Jawahir Pengkalan Balak yang berusia 115 tahun kini tampil dengan wajah baharu dan lebih selesa selepas kerja baik pulih bernilai kira-kira RM1.4 juta berjaya disiapkan, sekali gus menyelesaikan masalah kebocoran bumbung yang berlarutan sejak sekian lama.

Pemangku Pengerusi Masjid Al-Jawahir Pengkalan Balak, Mohd Said Harun berkata, masalah kebocoran bumbung sebelum ini antara isu utama yang dihadapi pihak pengurusan masjid berikutan faktor usia bangunan.

Katanya, kerja pembaikan pernah dilaksanakan secara berperingkat oleh jawatankuasa masjid dengan bantuan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), namun kekangan kewangan menyebabkan pembaikan menyeluruh sukar dilaksanakan.

“Bahagian paling kritikal sebelum ini adalah bumbung yang banyak mengalami kebocoran dan keadaan itu berlarutan agak lama, ini juga disebabkan faktor usia masjid yang sudah mencecah 115 tahun.

“Sebelum ini beberapa kerja baik pulih ada dilakukan termasuk kami juga ada menerima bantuan daripada MAIM, tetapi ia tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Namun, hasil bantuan dan inisiatif Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, kerja baik pulih secara menyeluruh masjid ini berjaya dilaksanakan dan kami amat berterima kasih,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, Majlis Penyerahan Masjid Al-Jawahir Pengkalan Balak telah disempurnakan Ketua Menteri sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas serta kenamaan lain.

Menurutnya, peruntukan yang diterima membolehkan kerja baik pulih dilaksanakan secara lebih menyeluruh, bukan sahaja membabitkan bumbung malah beberapa struktur dan kemudahan utama masjid.

“Bukan sahaja bahagian bumbung dibaik pulih tetapi juga beberapa struktur bangunan lain termasuk pembinaan kubah baharu, penggantian karpet serta sistem pembesar suara baharu,” katanya.

Mohd Said berkata, transformasi berkenaan memberi keselesaan kepada kariah untuk menunaikan ibadah, selain menyediakan kemudahan lebih baik kepada pelancong yang singgah di Pengkalan Balak.

“Dengan keadaan masjid yang berwajah baharu, ia bukan sahaja memberi keselesaan kepada penduduk malah pelancong yang singgah untuk beribadah.

“Memandangkan kawasan Pantai Pengkalan Balak merupakan lokasi tumpuan pelancong, pastinya ramai pelancong yang singgah dan ini memberi imej amat baik untuk Melaka,” katanya.

Pada majlis sama, Ketua Menteri turut menyampaikan sumbangan kepada masjid dan surau serta Insentif Belanja Rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

302
Kongsi :
Previous post ‘GPS FINDER’ KURANGKAN RISIKO NELAYAN SESAT, BANTU KESAN LUBUK IKAN
Next post 24 DEKAN ICT TURUN PADANG, 380 PELAJAR SMK BUKIT KATIL TEROKA DUNIA TEKNOLOGI