
‘DULU SAYA ANAK PENOREH GETAH’ – AB RAUF MAHU WARISKAN KERAJAAN TERBAIK UNTUK ANAK MUDA MELAKA
PENGKALAN BATU 25 September – Daripada kehidupan sebagai anak penoreh getah di sebuah kampung di Masjid Tanah, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bertekad mahu memastikan generasi muda masa kini terus mendapat pendidikan dan bimbingan terbaik demi masa depan Melaka yang lebih cerah.
Ab Rauf berkata, pengalaman membesar dalam suasana kampung yang serba daif ketika itu menjadi antara asas yang membentuk dirinya sehingga berjaya berada di kedudukan yang diamanahkan untuk memimpin negeri.
Katanya, perjalanan hidupnya itu membuktikan pendidikan dan bimbingan guru mampu mengubah kehidupan seseorang, sekali gus menjadi sebab beliau mahu memastikan generasi muda Melaka mendapat peluang yang sama untuk membina masa depan mereka.
“Saya diasuh guru-guru, bersekolah di SMK Ghafar Baba, diasuh dan akhirnya saya berkarya dengan kehidupan saya dan saya akhirnya di sini (sebagai Ketua Menteri).
“Jadi, saya bertekad mahu wariskan kerajaan terbaik untuk anda semua di masa depan bagi meniti hari,” katanya ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih Ketua Menteri Melaka MeSRa Pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2026 di Manipal University College Malaysia (MUCM) Melaka Campus, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Md Azhan Samat; Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) Abdul Aziz Baba serta kenamaan lain.
Ab Rauf berkata, pengalaman tersebut mendorongnya untuk memastikan generasi muda hari ini diberikan pendidikan, asuhan dan bimbingan secukupnya supaya mereka mampu menjadi insan berguna serta mewarisi negeri pada masa hadapan.
“Rakyat Melaka ada sejuta orang. Di belakang saya ada anda semua untuk diasuh dan dididik menjadi insan berguna pada masa depan.
“Tanggungjawab kami ialah membawa anda menjadi insan berguna, diberi pendidikan, diasuh dan dididik menjadi generasi berguna,” katanya.
Menurutnya, kejayaan dalam pendidikan juga tidak seharusnya menyebabkan generasi muda melupakan asas kehidupan dan nilai diri yang menjadi tunjang pembentukan insan.
“Saya tidak mahu dalam kita hendak mengejar kejayaan, kita terlupa diri dan asas kita, yang mana perlu kita asuh anak-anak menjadi generasi terbaik masa depan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


