JATI DIRI, PENGISIAN ROHANI BENTENG GENERASI MUDA HADAPI DUNIA DIGITAL – AB RAUF

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat

PENGKALAN BATU 25 September – Generasi muda perlu memperkukuh jati diri dan pengisian rohani sebagai benteng dalam mendepani dunia digital yang semakin terbuka tanpa batas dan sempadan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, perkembangan teknologi yang pesat memberi cabaran besar kepada generasi muda dalam mengendalikan lambakan maklumat, justeru mereka perlu mempunyai asas nilai dan pegangan kukuh supaya tidak mudah terpengaruh dengan perkara yang boleh menjejaskan pembentukan diri.

“Generasi muda ini mesti mempunyai jati diri dalam mendepani masa depan mereka dalam dunia digital yang serba canggih pada masa kini.

“Pada masa sama, pengisian rohani juga amat penting supaya mereka mempunyai batas dan sempadan dalam mendepani maklumat-maklumat tanpa sempadan masuk ke dalam jiwa raga anak-anak muda ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Sentuhan Kasih Ketua Menteri Melaka MeSRa Pendidikan SPM & STPM 2026 di Manipal University College Malaysia (MUCM) Melaka Campus, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Md Azhan Samat; Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) Abdul Aziz Baba serta kenamaan lain.

Terdahulu, program itu disertai 308 calon SPM, 220 calon STPM serta 95 guru pembimbing secara fizikal, manakala, seramai 11,415 calon SPM 2026 pula mengikutinya secara dalam talian menerusi saluran YouTube dan Google Meet.

Ab Rauf dalam ucapannya berkata, penggunaan peranti digital dalam kehidupan seharian juga perlu dikawal supaya teknologi tidak mengambil alih peranan manusia dalam mendidik dan membentuk generasi akan datang.

“Peranti ini kalau tidak dikawal dan guru tidak mendidik pendidikan asas, maka kita akan tersasar dan tersesat dalam dunia canggih sekarang,” katanya.

Menurutnya, kecenderungan menggunakan peranti sebagai jalan mudah untuk menenangkan atau menghiburkan anak-anak juga perlu diberi perhatian kerana ia boleh mengurangkan interaksi dan sentuhan kasih sayang dalam keluarga.

“Kalau ada cucu di rumah, beri iPad dia senyap. Di rumah, ibu muda memindahkan kasih sayang kepada peranti. Tidak mahu dodoi, selawat, beri iPad tengok Upin Ipin.

“Satu hari nanti kalau kita beri kasih sayang menggunakan teknologi, dia pun jaga kita dengan teknologi. Sudah tiada kasih sayang,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, perkembangan kecerdasan buatan (AI) perlu dikawal dengan kebijaksanaan dan tidak seharusnya menyebabkan manusia terlalu bergantung kepada teknologi dalam mengurus kehidupan.

“AI adalah perkara yang perlu kita kawal dengan kebijaksanaan. AI tidak ada perasaan, tidak ada kasih sayang.

“Kita bergantung kepada AI untuk mengolah kehidupan. Apa jadi kalau kita serah diri kepada teknologi? Kita terlupa kita bentuk satu generasi, asuhan kita beri tanpa kasih sayang,” katanya.

Beliau berkata, teknologi perlu dimanfaatkan secara bijaksana sebagai alat membantu kehidupan dan pendidikan, namun nilai kemanusiaan, kasih sayang serta pengisian rohani tidak boleh diketepikan dalam membentuk generasi masa depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

606
Kongsi :
Previous post PENDIDIKAN JADI ASAS LAHIR PEMIMPIN PELAPIS MASA DEPAN MELAKA