
PENDIDIKAN ANAK MUDA TIDAK TERHENTI DI BILIK KULIAH – AB RAUF
SERI NEGERI 24 September – Pendidikan dan pembangunan generasi muda tidak seharusnya terhad di bilik kuliah, sebaliknya perlu dilengkapi ruang mencuba, peluang bersuara serta pengalaman memimpin bagi menggilap potensi mereka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menyediakan pelbagai platform kepada golongan muda untuk mengembangkan bakat, kemahiran dan keyakinan diri di luar institusi pendidikan.
Katanya, antara platform yang diwujudkan termasuk Dewan Undangan Belia Negeri Melaka, Townhall Anak Muda Melaka serta pelbagai program pendidikan, pembangunan bakat, kemahiran, kecemerlangan akademik dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Pendidikan anak muda tidak boleh berhenti di dalam bilik kuliah. Mereka perlu diberi ruang untuk mencuba, peluang untuk bertanya, keberanian untuk berhujah dan pengalaman untuk memimpin.
“Daripada ruang-ruang seperti inilah kita mengenal potensi sebenar seseorang anak muda,” katanya berucap sebelum menyempurnakan Perasmian Penutup Pertandingan Debat Piala YAB Ketua Menteri Melaka 2026 di Auditorium Seri Negeri, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee serta kenamaan lain.
Ab Rauf berkata, budaya berfikir secara kritis dan menghormati perbezaan pandangan yang diterapkan menerusi pertandingan debat perlu dibawa peserta dalam kehidupan seharian.
Katanya, generasi muda yang diperlukan negeri dan negara bukan sekadar mempunyai kebolehan berkomunikasi, tetapi mampu berfikir secara matang, berani menyuarakan pandangan dan bijak menilai sesuatu perkara.
“Negeri dan negara bukan hanya memerlukan generasi muda yang pandai bercakap, sebaliknya anak muda yang tahu berfikir, berani bersuara dan bijak menilai sesuatu perkara.
“Saya berharap Pertandingan Debat Piala YAB Ketua Menteri Melaka ini dapat diteruskan sebagai satu tradisi ilmu bagi melahirkan lebih ramai generasi muda berwibawa,” katanya.
Beliau berkata, perbezaan pandangan merupakan perkara biasa dalam proses pembelajaran dan pembangunan pemikiran, namun ia perlu disertai sikap saling menghormati serta berlandaskan fakta.
“Berbeza pandangan tidak mengapa, yang penting jangan hilang adab, jangan hilang fakta dan jangan hilang rasa hormat sesama manusia,” katanya.
Menurutnya, platform seperti pertandingan debat memberi peluang kepada mahasiswa menguji keberanian, mengasah kemahiran berhujah dan membina keyakinan diri dalam suasana yang kompetitif.
Katanya, pengalaman itu penting sebagai persediaan untuk golongan muda mengambil peranan lebih besar dalam masyarakat dan pembangunan negeri pada masa hadapan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

