
LAMA MENYEPI, IPG KAMPUS PEREMPUAN MELAKA BANGKIT JADI JUARA DEBAT
SERI NEGERI 25 September – Selepas sekian lama menyepi daripada arena debat, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melaka membuat kemunculan semula penuh bergaya apabila muncul juara sulung Pertandingan Debat Piala Ketua Menteri Melaka 2026.
Lebih menarik, kejayaan itu hadir selepas kumpulan debat institusi berkenaan dihidupkan semula dengan sebahagian besar anggotanya terdiri daripada peserta yang masih baharu dalam bidang debat.
Wakil pasukan, Nur Humairah Nur Sharul Mazuki, 19, berkata kejayaan itu hasil kesungguhan seluruh pasukan yang menjalani persiapan dan latihan dalam tempoh panjang sebelum pertandingan.
Katanya, pasukan IPG Kampus Perempuan Melaka yang mewakili blok kerajaan memberi tumpuan kepada isu semasa, selain memastikan setiap hujah yang dibawa dapat dikaitkan dengan matlamat yang digariskan Kerajaan Negeri Melaka.
“Sejujurnya persiapan ini agak lama kerana ini merupakan julung kali buat kami di IPG Kampus Perempuan Melaka selepas sebelum ini kumpulan debat kami berehat agak lama.
“Jadi apabila pertandingan ini diadakan, ia agak susah kerana kami perlu bermula semula dan mencari orang baharu. Kemenangan ini sebenarnya agak mengejutkan dan membanggakan kerana kami dapat menebus segala kepenatan dan keletihan sepanjang tempoh latihan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Selaku johan, Pasukan A IPG Kampus Perempuan Melaka membawa pulang hadiah kemenangan RM3,000 berserta trofi yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada majlis penutup dan penyampaian hadiah di Auditorium Seri Negeri, di sini, pada Khamis.
Nur Humairah berkata, IPG Kampus Perempuan Melaka menghantar dua pasukan membabitkan keseluruhan lapan peserta, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai ahli baharu mendapatkan pengalaman dalam arena debat.
Menurutnya, cabaran terbesar pasukan adalah membimbing anggota yang masih baharu bermula daripada asas, namun komitmen dan kesungguhan mereka sepanjang latihan akhirnya membuahkan hasil.
“Kebanyakan rakan sepasukan kami baru masuk dalam debat. Jadi agak susah untuk mengajar mereka daripada asas, tetapi mereka menunjukkan pencapaian yang cemerlang.
“Mereka membuktikan bahawa walaupun baru dalam bidang ini, mereka mampu memikul gelaran juara,” katanya.
Katanya, kejayaan itu juga menjadi suntikan semangat kepada pasukan berkenaan untuk terus mengaktifkan semula kegiatan debat dan pengucapan awam pada masa akan datang.
“Kemenangan ini bukan titik akhir. Sebaliknya, ia memberi semangat kepada kami untuk terus aktif, memperbaiki kelemahan dan memberi peluang kepada lebih ramai ahli baharu merasai pengalaman dalam bidang debat,” katanya.
Pertandingan Debat Piala Ketua Menteri Melaka 2026 yang julung kali dianjurkan itu menghimpunkan 14 pasukan daripada sembilan institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Melaka dan berlangsung selama dua hari di Auditorium Seri Negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

