
DULU SELENGGARA SENAPANG, KINI TUAI CENDAWAN
AYER LIMAU 29 September – Jika dahulu rutin hariannya bersama Tentera Darat Malaysia (TDM) dipenuhi tugas membaiki dan menyelenggara sistem persenjataan, kini pesara tentera, Johari Amat Shariff, kini menghabiskan masa di celah ribuan bongkah cendawan tiram yang menjadi sumber rezekinya.
Sepanjang lebih dua dekad berkhidmat, Johari bertanggungjawab memastikan pelbagai sistem persenjataan dalam inventori TDM sentiasa berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan pada bila-bila masa, termasuk pistol, raifal tempur serta meriam 155 milimeter (mm).
Selepas menamatkan perkhidmatan, lelaki itu mula mencari kegiatan baharu dan memilih untuk mengusahakan tanaman cendawan tiram secara kecil-kecilan di rumah sebelum mengembangkannya secara komersial di Solok Duku, Masjid Tanah sejak 2009.
Berkongsi kisahnya, Johari berkata, pada peringkat awal tanaman itu dilakukan sekadar suka-suka sebelum hasil yang diperoleh mendorongnya menjadikan bidang berkenaan sebagai sumber pendapatan.
“Hidup ini penuh dengan ujian dan saya juga tidak terlepas daripada menempuh waktu sukar apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.
“Saya tidak dapat memasarkan cendawan tiram yang sudah sedia dituai. PKP yang berpanjangan menyebabkan saya kehilangan modal pusingan dan boleh dikatakan ketika itu saya terduduk,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di bangsalnya di Kampung Lekok, di sini.
Menurut Johari, selepas agak lama meninggalkan bidang itu, semangatnya kembali tercetus tahun lalu selepas seorang rakan mencadangkan supaya beliau mengusahakan semula tanaman berkenaan.
Katanya, menggunakan geran Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) menerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Lekok, dia membina semula projek tanaman cendawan tiram yang pernah terhenti.
“Rugi kalau ilmu yang ada disia-siakan begitu sahaja. Dengan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Pengerusi JPKK Lekok, Isa Karim, kami membeli mesin yang diperlukan dan membina bangsal untuk memulakan semula projek tanaman cendawan tiram,” katanya.
Pesara tentera itu berkata, selain minat, disiplin yang sebati dalam dirinya ketika bergelar anggota tentera turut menjadi kekuatan untuk kembali bangkit dan mengembangkan perniagaan.
Katanya, semangat untuk terus belajar serta keinginan memajukan diri menjadi motivasi utama dalam setiap perkara yang diusahakan.
“Disiplin sudah sebati dalam diri saya. Saya juga sentiasa mahu belajar dan memperbaiki apa yang dilakukan supaya usaha ini boleh berkembang,” katanya.
Menurut Johari, pengeluaran cendawan tiram kini mampu mencecah sehingga 100 kilogram (kg) sehari, namun jumlah berkenaan masih belum mencukupi bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.
Katanya, antara pelanggan tetap ialah pengusaha kedai runcit, pemborong dan peniaga cendawan goreng di pasar malam sekitar Masjid Tanah.
Atas minat dalam bidang perniagaan, Johari turut memasarkan sendiri hasil tanaman dengan menjual cendawan segar di pasar malam bagi mendekati pelanggan.
“Alhamdulillah, ramai berpuas hati dengan produk kami kerana ia segar dan boleh tahan sehingga tujuh hari. Setakat ini kami mempunyai lebih 20,000 bongkah untuk penanaman cendawan dan sedang berusaha menambah jumlah itu supaya kapasiti pengeluaran dapat ditingkatkan,” katanya.
Katanya, bagi mengurangkan kos operasi, beliau turut menghasilkan sendiri bongkah cendawan menggunakan campuran habuk kayu, sekam padi, kapur dan air.
“Apabila siap, bongkah perlu dikukus bagi mengelakkan pembiakan bakteria sebelum diperam antara 30 hingga 60 hari dan sedia digunakan untuk penanaman.
“Kami juga sedang meninjau satu lagi tapak berhampiran untuk membina bangsal bagi projek akan datang,” katanya.

Namun, perancangan Johari bukan sekadar meningkatkan pengeluaran cendawan tiram, sebaliknya turut meneroka produk hiliran bagi menambah nilai hasil tanaman.
Katanya, produk Cendawan Crispy Cheese pernah dihasilkan sebelum ini, namun terpaksa dihentikan selepas projek pertama terjejas akibat PKP.
“Semangat saya bukan sekadar berpuas hati dengan menanam dan memasarkan cendawan, tetapi mahu berinovasi dengan menghasilkan produk hiliran. Cendawan Crispy Cheese antara produk yang pernah kami keluarkan.
“Jangan terkejut kalau suatu hari nanti ada keropok lekor cendawan tiram. Saya pernah minta bantuan usahawan keropok lekor menghasilkan produk itu menggunakan cendawan tiram sebagai pengganti isi ikan dan rasanya saya boleh kata lebih enak.
“Satu lagi produk yang bermain dalam kepala saya ialah serunding cendawan tiram. Insya-Allah, jika perancangan menambah kapasiti pengeluaran berjaya, saya akan teruskan pula dengan perancangan itu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


