
PENJAWAT AWAM JANGAN ‘CURANG’ DALAM LAKSANA AMANAH – SALHAH
AYER KEROH 28 September – Semua penjawat awam di Negeri Melaka diingatkan supaya melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka dengan penuh rasa kejujuran, profesional selain berpegang teguh kepada nilai-nilai integriti.
Perkara itu ditegaskan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh yang turut mengingatkan bahawa tidak ada ruang untuk penjawat awam yang ‘curang’ di Melaka.
“Penjawat awam juga perlu mengelakkan sebarang konflik kepentingan, sentiasa mematuhi peraturan dan prosedur yang ditetapkan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Perasmian Dump Recycle Cash Reward (DRVM) di Dewan Taming Sari MBMB, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Datuk Maslina Baki; Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman dan Setiausaha MBMB Muhammad Firdaus Shariff dan Ketua Ahli Majlis MBMB Clr. Mustafa Mohamed Baboo.
Dalam pada itu, Salhah mengingatkan warga kerja MBMB supaya menjadikan pematuhan etika perkhidmatan awam sebagai asas dalam melaksanakan tugasan harian mereka.
“Ia termasuk pemantapan tatakelola baik dan pengukuhan nilai integriti berpandukan Perintah-Perintah Am, pekeliling, arahan serta peraturan semasa yang berkuat kuasa. Ini juga termasuklah pematuhan waktu bekerja, kod etika berpakaian dan perkhidmatan kaunter,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


