
JIMAT RM50, TAPI DAPAT BELI MACAM-MACAM
PENGKALAN BATU 29 September – Kupon bernilai RM50 yang diagihkan kepada orang ramai bersempena Jualan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) amat membantu golongan berpendapatan rendah untuk berjimat.
Haziq Naufal Radzali, 17, dari Balai Panjang berkata meskipun nilai kupon cuma RM50, namun barangan basah yang ditawarkan seperti daging kambing, sotong dan kerang dianggap sebagai satu peluang yang tidak boleh dilepaskan.
Katanya, dia bersama ahli keluarga yang lain memanfaatkan inisiatif terbaharu dilaksanakan Kerajaan Negeri itu untuk membeli stok makanan, sekali gus menikmati penjimatan.
“Kebiasannya setiap kali keluar beli stok makanan basah kami belanja antara RM100 hingga RM200, tapi kali ini dapat jimat RM50 menggunakan kupon yang diedarkan. Memang cuma jimat RM50 tetapi amat bermakna buat golongan kurang berkemampuan.
“Tarikan lain pada jualan kali ini adalah jualan ayam segar pada harga cuma RM5 sahaja seekor. Memang sangat membantu rakyat, sesekali dapat jamah hidangan istimewa dan lebih menarik di rumah,” katanya.
Dia berkata demikian ketika di temui pada Majlis Pelancaran Jualan Melaka Sayang Rakyat Sempena Program Melaka Bila Larut Malam Tahun 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utam Ab Rauf Yusoh di Pasar Besar MBMB, Bachang, di sini, pada Sabtu.
Dia berharap inisiatif seumpama itu diteruskan lagi pada masa akan datang kerana manfaatnya amat besar terutama buat keluarga yang besar.
Bersempena jualan itu sebanyak 2,000 kupon bernilai RM50 diagihkan kepada pengujung yang hadir, ia melibatkan subsidi daripada Kerajaan Negeri secara keseluruhan berjumlahRM100,000.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


