
PEMERGIAN TUN SITI HASMAH KEHILANGAN BESAR BUAT NEGARA – AB RAUF
AYER KEROH 28 September – Pemergian Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali disifatkan sebagai kehilangan besar buat negara, khususnya atas jasa dan sumbangan Allahyarhamah dalam bidang kesihatan awam, kebajikan serta pembangunan masyarakat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Allahyarhamah mempunyai legasi tersendiri sebagai tokoh wanita dan doktor perubatan yang menabur bakti sepanjang hayat, selain dikenali sebagai isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Pemergian Allahyarhamah merupakan satu kehilangan besar buat negara. Beliau bukan sekadar dikenang sebagai isteri kepada seorang negarawan, tetapi sebagai tokoh wanita dan doktor perubatan yang telah menabur bakti sepanjang hayatnya dalam bidang kesihatan awam, khususnya kebajikan ibu dan anak, pembangunan wanita, kesejahteraan keluarga serta kerja-kerja kemasyarakatan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini bagi mewakili kepimpinan serta seluruh Kerajaan Negeri Melaka menzahirkan ucapan takziah kepada Tun Dr. Mahathir dan seluruh keluarga atas pemergian Allahyarhamah.
Ab Rauf berkata, perjalanan hidup Allahyarhamah sebagai antara wanita Melayu terawal menceburi bidang perubatan membuktikan bahawa ilmu yang disertai keikhlasan dan pengabdian mampu memberi kesan berpanjangan kepada masyarakat.
“Jasa dan kelembutan budi beliau akan terus dikenang oleh rakyat Malaysia, khususnya generasi wanita yang menjadikan perjuangan beliau sebagai sumber inspirasi,” katanya.
Sehubungan itu, Ab Rauf turut mendoakan agar Tun Dr. Mahathir serta seluruh keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali, mengampuni segala dosa dan kekhilafannya, menerima segala amal kebajikannya serta menempatkan Allahyarhamah bersama para solihin dan insan yang diredai-Nya,” katanya.
Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah dilahirkan pada 12 Julai 1926 dan mendirikan rumah tangga dengan Tun Dr Mahathir pada 5 Ogos 1956, sebelum dikurniakan tujuh cahaya mata.
Allahyarhamah merupakan antara doktor wanita Melayu terawal di negara ini dan pernah berkhidmat dalam bidang kesihatan awam sebelum terus aktif dalam pelbagai kegiatan kesihatan serta kebajikan masyarakat.
Tun Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pagi ini pada usia 100 tahun. Pemergian beliau disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


