
MAIM LANTIK 54 PEMBIMBING, PENDAMPING MUALAF
ALOR GAJAH 28 September – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) melantik seramai 54 ahli terdiri daripada 20 Skuad Sukarelawan Balai Islam (SSBI) dan 34 Guru Halaqah Balai Islam bagi membantu membimbing serta mendampingi saudara baharu di negeri ini.
Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad berkata, pelantikan berkenaan membuktikan komitmen MAIM dalam memperkukuh peranan Balai Islam sebagai pusat ibadah, ilmu, tarbiah, kebajikan dan penyatuan masyarakat.
Beliau berkata, seramai enam Guru Halaqah dipilih mengikuti Kursus Training of Trainer (TOT) sebagai panduan dan mentor bagi persediaan menghadapi pengambilan baharu Guru Halaqah Balai Islam pada penghujung tahun ini.
“Konsep TOT membawa mesej bahawa ilmu tidak seharusnya terhenti kepada diri sendiri, sebaliknya perlu disampaikan, kemahiran dikongsi dan pengalaman diwariskan agar semangat berkhidmat terus berkembang.
“Saya berharap setiap peserta dapat membawa pulang tiga perkara utama untuk dikongsikan bersama komuniti masing-masing iaitu ilmu yang bermanfaat, kemahiran yang boleh dikongsi dan semangat untuk terus berkhidmat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Kursus Training of Trainer (TOT) Skuad Sukarelawan Balai Islam (SSBI) dan Guru Halaqah Balai Islam Tahun 2026 di sebuah hotel, di sini, pada Ahad.
Shaifulfazlee berkata, kursus berkenaan bukan sekadar memberi pengetahuan dan kemahiran kepada peserta, bahkan menjadi usaha melahirkan barisan pembimbing yang mampu mendampingi, membimbing dan menguatkan saudara baharu dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim.
“Perjalanan saudara baharu dalam mengenali dan mendalami Islam memerlukan ilmu, kesabaran, sokongan, perhatian dan kasih sayang.
“Sebagai SSBI dan Guru Halaqah Balai Islam, saudara dan saudari memikul amanah besar, bukan sahaja dalam menjayakan program, tetapi turut menjadi kekuatan yang menghidupkan fungsi Balai Islam sebagai pusat ibadah, ilmu, tarbiah, kebajikan dan penyatuan masyarakat,” katanya.
Menurutnya, peranan pembimbing juga penting dalam memastikan saudara baharu mendapat sokongan yang berterusan, khususnya dalam proses memahami serta mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


