
TAPEM SALUR RM8 JUTA BANTUAN PENDIDIKAN SETAKAT OGOS
AYER KEROH 30 September – Dianggarkan sebanyak RM8 juta daripada RM12 juta peruntukan tahunan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) telah disalurkan kepada anak Melaka yang menerima manfaat pendidikan bagi tempoh Januari sehingga Ogos tahun ini.
Pengurus Besar TAPEM Abdul Aziz Baba berkata, peruntukan tersebut disediakan bagi memenuhi pelbagai keperluan pendidikan anak Melaka termasuk membabitkan pelajar siswazah serta pinjaman pendidikan.
Katanya, TAPEM akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pengurusan dana pendidikan supaya bantuan dan kemudahan disediakan dapat dimanfaatkan lebih ramai anak Melaka.
“Peruntukan tahunan kita lebih kurang RM12 juta dan sehingga Ogos ini kira-kira RM8 juta telah disalurkan yang mana ia melibatkan pelbagai peringkat termasuk pelajar siswazah serta pinjaman pendidikan yang dikeluarkan.
“Usaha ini penting bagi memastikan dana pendidikan yang ada dapat terus dimanfaatkan dan memberi manfaat kepada anak Melaka pelbagai peringkat pendidikan,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, TAPEM turut terlibat dalam pelaksanaan program Kerajaan Negeri berkaitan pendidikan termasuk inisiatif membabitkan pelajar, penuntut institusi pengajian tinggi dan pembangunan kepimpinan mahasiswa.
Katanya, antara program yang diberi perhatian termasuk penganjuran ‘town hall’ bersama pemimpin muda dalam kalangan pelajar selain penglibatan dalam pelbagai inisiatif berkaitan universiti.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan peranan TAPEM tidak hanya tertumpu kepada bantuan kewangan, tetapi turut menyokong pembangunan potensi dan kepimpinan generasi muda Melaka sekali gus menyerlahkan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


