
MPJ BAWA ASPIRASI BANDAR PINTAR JASIN KE PENTAS DUNIA
JASIN 30 September – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) membawa aspirasi pembangunan Jasin Smart City 2035 ke pentas antarabangsa menerusi penyertaan dalam Tomorrow.City Shanghai 2026 (TCS 2026) di Shanghai, China.
Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, penyertaan itu membuka peluang kepada pihaknya berkongsi pengalaman serta hala tuju pembangunan bandar pintar Jasin, selain meneroka peluang kerjasama dan pertukaran kepakaran di peringkat antarabangsa.
Katanya, program yang berlangsung dari 21 hingga 24 September lalu itu disertai menerusi jemputan dan penajaan penuh PLANMalaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Program ini menghimpunkan pemimpin bandar, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pemain industri serta pakar teknologi dari seluruh dunia bagi berkongsi idea, pengalaman dan pendekatan baharu dalam pembangunan bandar pintar serta mampan.
“MPJ turut diberi penghormatan membuat pembentangan dalam sesi ‘Closed-Door Matchmaking’ yang menjadi platform strategik untuk meneroka peluang kerjasama, pertukaran kepakaran dan jaringan antarabangsa,” katanya.
Muhammad Zahiruddin berkata, beliau membentangkan topik ‘Challenges and Strategies Towards Realising Jasin Smart City 2035’ yang mengetengahkan cabaran, strategi serta hala tuju MPJ dalam merealisasikan aspirasi bandar pintar Jasin menjelang 2035.
Menurutnya, pembentangan itu turut merangkumi aspek penerapan teknologi, pendigitalan perkhidmatan, tadbir urus pintar serta pengukuhan kolaborasi antara kerajaan, industri dan komuniti.
“Penyertaan ini turut memperkukuh komitmen MPJ dalam agenda bandar pintar susulan pengiktirafan sebagai ‘Smart City Early Adopter’ oleh KPKT pada 2025.
“Jaringan dan perkongsian yang diperoleh menerusi acara ini akan dimanfaatkan MPJ untuk meneroka penyelesaian inovatif ke arah mewujudkan bandar yang cerdas, inklusif, mampan dan berdaya huni menjelang 2035,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

