WANITA CERIA LUBOK CHINA CIPTA TART NASI LEMAK, KUIH LOPES

Masa Membaca:2 Minit, 45 Saat

AYER LIMAU 30 September – Bermula daripada kebosanan selepas pulang ke kampung, lima wanita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau kini mempunyai sumber pendapatan sampingan menerusi penghasilan kulit tart yang diinovasikan dengan pelbagai inti unik.

Bernaung di bawah Persatuan Wanita Ceria Lubok China, mereka bukan sekadar menghasilkan tart keju dan nanas yang menjadi pilihan ramai, malah tampil dengan variasi moden seperti tart nasi lemak, tart sambal telur burung puyuh, tart pulut bakar dan tart kuih lopes gula Melaka.

Wakil persatuan, Hamzanah Maarof, 54, berkata, fokus utama mereka adalah menghasilkan kulit tart untuk dibekalkan kepada pengusaha bakeri dan pastri, sekali gus memberi peluang kepada pelanggan menghasilkan tart mengikut citarasa sendiri.

“Asasnya adalah kulit tart yang diadun seperti pengusaha lain, tetapi kami cuba hasilkan produk yang unik. Setakat ini kami tampil dengan tart nasi lemak, tart sambal telur burung puyuh, tart pulut bakar dan tart kuih lopes gula Melaka.

“Namun, kami tetap menghasilkan tart keju dan nanas kerana diakui masih ramai peminatnya. Usaha ini secara tidak langsung memudahkan kaum ibu atau suri rumah menghasilkan tart mengikut citarasa sendiri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Hamzanah, perusahaan kecil-kecilan yang berpusat di Balai Raya Lubok China itu dimulakan pada Februari lalu, mengambil peluang terhadap peningkatan permintaan biskut dan kuih khususnya menjelang sambutan Aidilfitri.

Katanya, kebanyakan ahli persatuan sebelum ini bekerja di luar Melaka sebelum mengambil keputusan pulang ke kampung dan mencari kegiatan yang boleh menjana pendapatan.

“Ahli kami dalam kalangan ibu tunggal dan sebelum ini ramai yang merantau mencari rezeki di luar Melaka. Apabila pulang ke kampung, kami kebosanan dan tidak tahu apa yang mahu dibuat.

“Mungkin sudah takdir kami berjumpa dan tampil dengan idea untuk menghasilkan kulit tart. Alhamdulillah, apa yang diusahakan ini membantu menjana pendapatan sampingan. Kami bukan orang berada, malah seorang ahli persatuan ialah ibu tunggal yang menanggung anak orang kurang upaya (OKU),” katanya.

5
ANTARA produk unik yang dihasilkan seperti tart nasi lemak, tart sambal telur burung puyuh, tart pulut bakar dan tart kuih lopes gula Melaka.

Hamzanah berkata, pada peringkat awal, mereka berdepan kesukaran untuk memasarkan produk serta mendapatkan kepercayaan pengusaha bakeri dan pastri sekitar Masjid Tanah.

Namun, katanya, keberanian mengetuk pintu premis satu demi satu akhirnya membuahkan hasil apabila mereka berjaya membina jaringan pelanggan dan membekalkan kulit tart kepada pengusaha di sekitar negeri ini.

“Semua ahli memberanikan diri mengetuk pintu kedai untuk memperkenalkan dan menjual kulit tart. Paling banyak kami pernah hasilkan 5,000 kulit tart dalam sehari.

“Setiap bekas mengandungi 50 kulit tart dan dijual pada harga RM15. Kami masih bertatih dan banyak yang perlu dipelajari untuk mengembangkan pasaran termasuk meneroka medium digital,” katanya.

Menurutnya, pengeluaran kulit tart dibuat berdasarkan permintaan pelanggan yang berubah mengikut musim, namun sambutan yang diterima setakat ini amat menggalakkan.

“Syukur kerana ramai pelanggan berpuas hati dengan produk kami. Ada yang memuji produk ini enak dimakan begitu sahaja, selain teksturnya rangup dan tahan lama,” katanya.

Hamzanah turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Lubok China yang banyak membantu pada peringkat awal perusahaan itu, termasuk menyediakan mesin dan ketuhar.

“Insya-Allah, kami akan terus memikirkan inovasi baharu untuk mempopularkan lagi kulit tart ini. Semoga apa yang dilakukan memberikan faedah kepada ahli dan mewujudkan produk unik hasil air tangan wanita Ayer Limau,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

523
Kongsi :
Previous post MPJ BAWA ASPIRASI BANDAR PINTAR JASIN KE PENTAS DUNIA