
4 JETI NELAYAN AYER LIMAU DIBERI NAFAS BAHARU
AYER LIMAU 28 September – Empat jeti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau diperkasa secara berperingkat menerusi pelbagai projek naik taraf bagi memperkukuh kemudahan komuniti nelayan, selain membuka potensi baharu dalam sektor ekonomi dan pelancongan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pembangunan membabitkan Jeti Ramuan China Kecil, Jeti Telok Berembang, Jeti Tebing Urut dan Jeti Paya Lebar itu dilaksanakan mengikut keperluan serta potensi setiap kawasan.
Katanya, usaha berkenaan bukan sahaja memberi kemudahan lebih selesa dan teratur kepada komuniti nelayan, malah berupaya menggerakkan aktiviti ekonomi setempat serta menarik kehadiran pelancong.
“Di awal saya menjadi wakil rakyat, saya tidak pernah berjanji kepada nelayan. Tetapi atas dasar keprihatinan terhadap komuniti ini saya berusaha memberikan sesuatu.
“Alhamdulillah, kita ada empat jeti dan keempat-empatnya telah menerima impak pembangunan dan naik taraf dengan nilai kos yang begitu besar,” katanya kepada Melaka Hari Ini dalam wawancara khas sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Ayer Limau, baru-baru ini.
Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, Jeti Ramuan China Kecil sebelum ini dinaik taraf menerusi peruntukan RM400,000 dan tambahan RM200,000, menjadikan keseluruhan peruntukan hampir RM600,000.
Katanya, Jeti Telok Berembang pula dibangunkan dengan kos RM200,000 dan bakal menerima tambahan RM600,000 bagi kerja naik taraf yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Projek naik taraf Jeti Telok Berembang ini merangkumi gerai makan, balai operasi nelayan, stor dan tandas. Kawasan ini juga sering menjadi lokasi pilihan pemancing rekreasi,” katanya.
Menurutnya, pembangunan Jeti Tebing Urut pula dilaksanakan secara berperingkat dengan peruntukan keseluruhan RM1.8 juta bagi menyediakan kemudahan lebih baik kepada komuniti nelayan dan penduduk setempat.
“Ia membabitkan pembinaan jalan dengan peruntukan RM1 juta daripada Kumpulan Melaka Berhad (KMB), manakala RM800,000 lagi bagi pembangunan infrastruktur di jeti berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Hameed berkata, Jeti Paya Lebar bakal menerima nafas baharu apabila dibangunkan sebagai pusat pelancongan DUN Ayer Limau menerusi peruntukan RM7.9 juta.
Katanya, pembangunan berkenaan akan memperluas fungsi jeti yang sebelum ini lebih tertumpu kepada kegunaan komuniti nelayan kepada kawasan yang turut berpotensi menjadi tarikan pelancongan baharu.
“Jeti Paya Lebar bukan sahaja digunakan untuk nelayan, tetapi kita naik taraf menjadi kawasan pelancongan dengan peruntukan sebanyak RM7.9 juta. Jeti Paya Lebar ini kita jadikan sebagai pusat pelancongan untuk DUN Ayer Limau,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

