
TANJUNG BIDARA KEMBALI GEMILANG, TERSOHOR
TANJUNG BIDARA 2 Oktober – Usaha mengembalikan kegemilangan Tanjung Bidara sebagai antara destinasi pelancongan terkenal di Melaka terus diperkasakan menerusi pembangunan produk pelancongan baharu yang mampu menarik pengunjung dari dalam dan luar negara.
Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha berkenaan menjadi antara fokus utama beliau sepanjang hampir lima tahun menerajui kawasan berkenaan dengan memastikan Tanjung Bidara kembali menjadi tumpuan seperti suatu ketika dahulu.
“Apa usaha saya ialah untuk membangunkan semula kawasan Tanjung Bidara ini sebagai kawasan pelancongan yang terkenal satu ketika dulu.
“Disebabkan itu, saya cuba melakarkan semula supaya Tanjung Bidara ini kembali semula gemilangnya seperti mana yang terdahulu,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, usaha mewajah pelancongan itu turut digerakkan dengan menghidupkan semula Pantai Tanjung Bidara yang pernah gah suatu masa dahulu, namun semakin dilupakan.
Jelas beliau, antara usaha untuk mengembalikan daya tarikan Pantai Tanjung Bidara adalah memperkenalkan produk pelancongan baharu termasuk membangunkan sebuah litar kereta kawalan jauh (RC) yang kini menjadi antara tarikan baharu di kawasan berkenaan.
Katanya, litar berkenaan bukan sahaja mampu menarik pengunjung tempatan, malah turut menerima kunjungan pelancong dari luar negara selain boleh beroperasi pada waktu siang dan malam.
“Ia merupakan satu litar yang pertama dalam Negeri Melaka dan terbaik di Malaysia, yang menjadikan ia sebagai pusat daya tarikan pelancongan baharu di kawasan Tanjung Bidara,” katanya.
Selain itu, jelas beliau, penambahbaikan turut dilakukan dengan tindakan merobohkan kompleks perniagaan lama yang sebelum ini menghalang pandangan terus ke pantai.
Jelasnya, langkah berkenaan bukan sahaja mengubah landskap kawasan pantai, malah membuka semula perspektif pengunjung terhadap keindahan pantai serta membantu menghidupkan kembali aktiviti perniagaan di kawasan berkenaan.
“Pantai Tanjung Bidara ini dahulu mempunyai sebuah kompleks perniagaan yang terletak di atas pantai sehingga melindungi pandangan ke pantai.
“Kita telah merobohkan dan membina semula kawasan tersebut supaya orang dapat melihat pantai dari jarak jauh, yang menyebabkan ramai orang datang semula ke kawasan ini dan menghidupkan semula ekonomi pelancongan,” katanya.
Ab Rauf bagaimanapun berkata, usaha membangunkan semula Pantai Tanjung Bidara sebagai destinasi pelancongan tidak bermaksud untuk mengetepikan produk pelancongan sedia ada di kawasan berhampiran, khususnya Pantai Padang Kemunting dan Pengkalan Balak yang sememangnya sudah terkenal dan menjadi tarikan pengunjung dan pelancong.
Katanya, pembangunan berterusan di kawasan berkenaan diharap dapat mengembalikan semula imej Tanjung Bidara sebagai destinasi pelancongan yang gemilang, di samping merancakkan aktiviti ekonomi penduduk setempat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


