TENDER JEJANTAS TUN TEJA TELUS, IKUT PROSEDUR PEROLEHAN – MBMB

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 1 Oktober – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menafikan wujud sebarang unsur penyelewengan atau ketidaktelusan dalam proses pemilihan syarikat bagi melaksanakan perkhidmatan penyelenggaraan dan pembersihan bersepadu Jejantas Tun Teja.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, proses perolehan projek berkenaan dilaksanakan secara tender terbuka melalui Urusetia Perolehan, Jabatan Kewangan MBMB dan diiklankan menerusi Sistem Tender Online Melaka (STOM).

Menurutnya, tender berkenaan terbuka kepada semua kontraktor yang memenuhi syarat ditetapkan, selain MBMB turut mempelawa 19 kontraktor untuk menyertainya.

“Berdasarkan proses perolehan yang dijalankan, hanya seorang penender mengemukakan tawaran dengan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

“Iklan tawaran dibuka selama 21 hari bermula 14 Mei hingga 3 Jun 2026 sebelum Jawatankuasa Lembaga Perolehan MBMB yang bersidang pada 15 Jun 2026 bersetuju memilih ACS Engineering & Services bagi melaksanakan projek berkenaan untuk tempoh tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas yang turut dihadiri Setiausaha MBMB, Muhammad Firdaus Shariff di Graha Makmur, di sini, hari ini.

Shadan berkata, pemilihan syarikat berkenaan dibuat selepas melalui proses perolehan mengikut tatacara ditetapkan dalam Arahan Perbendaharaan dan pekeliling kerajaan yang sedang berkuat kuasa.

Menurutnya, kontrak selama tiga tahun yang bermula 1 Julai 2026 hingga 30 Jun 2029 itu membabitkan nilai RM2.075 juta, dengan jumlah berkenaan merupakan harga siling bagi kerja yang ditetapkan STOM.

“Mana-mana keperluan atau peralatan yang tidak perlu diganti tidak akan dibayar kepada pihak syarikat.

“Skop perkhidmatan penyelenggaraan dan pembersihan ini meliputi lebih 10 komponen, antaranya penyelenggaraan elektrik termasuk sistem pencahayaan, panel DB dan sistem perlindungan kilat, selain penyelenggaraan mekanikal serta kerja-kerja pembersihan,” katanya.

Beliau berkata, kerja pembersihan turut merangkumi fasad di kawasan aras rendah dan tinggi yang memerlukan penggunaan sistem akses tali atau peralatan kerja di tempat tinggi, selain pembersihan sistem saliran termasuk paip air hujan (RWDP), sistem pemantauan serta perkhidmatan pengurusan.

Jelasnya, sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang melaksanakan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) MS ISO 37001, MBMB sentiasa tertakluk kepada prosedur dan garis panduan berkaitan integriti.

“Pensijilan ABMS ini penting kerana ia merangkumi semua garis panduan berkaitan integriti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

238
Kongsi :
Previous post ‘MEMANG MATA TAK NAMPAK, TAPI SAYA CAM ITU SUARA AH SEM’
Next post ANUGERAH TOKOH PANGLIMA AWANG, IKTIRAF KECEMERLANGAN ANAK MELAKA DALAM BIDANG PENGAJIAN MARITIM