‘MEMANG MATA TAK NAMPAK, TAPI SAYA CAM ITU SUARA AH SEM’

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

MACHAP JAYA 1 Oktober – Gaya pertuturan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem masih segar dalam ingatan Kamariah Abdullah, 67, kini menghadapi masalah penglihatan.

Kamariah berkata, tahap penglihatannya semakin merosot kesan akibat penyakit kencing manis menyebabkan dia kini bergantung kepada pendengaran untuk mengecam suara individu datang menziarahinya di rumah.

Menurut ibu kepada enam anak itu, jika sebelum ini dia bersama rakan-rakan yang turun padang menyantuni penduduk, kini tiba gilirannya pula menerima kunjungan daripada rakan-rakan.

“Rutin ziarah kasih ini antara pendekatan yang amat baik kerana apabila rakan-rakan datang ke rumah, sedikit sebanyak kami dapat berkongsi cerita. Malah, kehadiran Datuk yang sentiasa mengambil berat dan mudah didekati membuatkan kami rasa tidak janggal untuk berbual tentang apa sahaja.

“Walaupun saya tidak lagi dapat melihat, saya masih mengenali suara beliau,” katanya ketika ditemui selepas Program Ziarah Kasih di kediamannya di Kampung Tebong Stesen, di sini, pada Rabu.

Menurut Kamariah, meskipun mempunyai jadual padat sebagai Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, penyandang kerusi DUN Machap Jaya itu sentiasa meluangkan masa menziarahi penduduk yang berdepan masalah kesihatan dan kesusahan.

“Jauh di sudut hati, apabila menerima kunjungan sebegini, sedikit sebanyak ia menceriakan hati dan membuatkan saya rasa masih diingati. Kadang-kadang kita hanya perlukan seseorang datang bertanya khabar dan mendengar cerita. Itu pun sudah cukup memberi semangat kepada kami.

“Perhatian dan keprihatinan seperti ini sangat bermakna, terutama kepada mereka yang berdepan cabaran kesihatan dan tidak lagi dapat bergerak seperti biasa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

333
Kongsi :
Previous post ‘KALAU JEMPUT DIA TAK NAK, TAK APA..KALAU DIA DATANG, KITA BERUNDING’