TAPEM SEDIA BANTU ANAK MELAKA LANJUTKAN PENGAJIAN DI ALAM

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

KUALA LINGGI 1 Oktober – Melaka berhasrat untuk melahirkan lebih ramai pelaut tempatan dan tenaga kerja mahir dalam bidang maritim, sekali gus menyokong perkembangan industri berkenaan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, fokus diberikan kepada bidang itu kerana ia menawarkan prospek kerjaya yang amat bagus buat anak-anak Melaka.

Katanya, sehubungan itu Kerajaan Negeri Melaka melalui Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) sentiasa berusaha memastikan faktor kewangan tidak menjadi penghalang kepada anak-anak Melaka untuk melanjutkan pengajian dalam bidang yang mempunyai prospek kerjaya tinggi.

“Pada masa ini, TAPEM telah menyediakan bantuan pinjaman pendidikan kepada tiga orang kadet Melaka yang mengikuti pengajian di ALAM, dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM300,000.

“Melihat kepada kepentingan sektor maritim untuk pertumbuhan ekonomi negeri, TAPEM juga sedang mempertimbangkan untuk meningkatkan jumlah penerima kepada lima orang kadet pada masa akan datang.

“Namun semua perancangan ini, tertakluk kepada permintaan serta kemampuan dan implikasi kewangan kerajaan negeri,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri ‘The Next Wave: Maritime Education Symposium’ sempena Minggu Maritim Malaysia 2026 di Kampus ALAM, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Dr. Mohd Yusof Abu Bakar mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat @Limat.

Yang turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan MISC Berhad Datuk Zahid Osman, Pengerusi Malaysia Maritime Academy Sendirian Berhad Datuk Abu Huraira Abu Yazid, Naib Presiden, Marine Services, MISC Berhad Mohd Denny Mohd Isa dan Ketua Eksekutif Akademi Laut Malaysia Prof Emeritus Datuk Dr. Abu Abdullah serta kenamaan lain.

Ab Rauf berkata, apa yang dilaksanakan adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk memastikan anak Melaka mendapat peluang, latihan dan pendidikan yang terbaik bagi mengisi keperluan industri maritim pada masa hadapan.

“Sebarang keputusan muktamad berkaitan cadangan tersebut akan dipertimbangkan oleh Kerajaan Negeri selepas tamat tempoh Kerajaan Sementara, selaras dengan prinsip Caretaker Government,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

320
Kongsi :
Previous post ANUGERAH TOKOH PANGLIMA AWANG, IKTIRAF KECEMERLANGAN ANAK MELAKA DALAM BIDANG PENGAJIAN MARITIM
Next post MELAKA RAIH TUJUH PENARAFAN PENGURUSAN ADUAN AWAM