PEMERKASAAN BAKAT PROFESIONAL MARITIM, PELABURAN PENTING UNTUK MALAYSIA

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LINGGI 1 Oktober – Pembangunan sumber manusia berkemahiran dan berkualiti dalam bidang maritim adalah satu bentuk pelaburan penting sebagai persediaan dalam mendepani perkembangan industri itu pada masa depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, adalah amat penting untuk melahirkan sumber manusia yang memahami, mampu mengadaptasikan teknologi dan paling mustahak mereka yang bersedia menjadi peneraju dalam industri maritim.

Katanya, sumber manusia berkenaan akan menjadi pelengkap kepada pelaburan bagi pembangunan kapal, pelabuhan dan juga teknologi maritim yang kian pesat berkembang ketika ini.

“Bagi Malaysia khususnya, transformasi ini cukup penting, tahun lalu sahaja nilai dagangan barangan fizikal kita adalah melebihi RM3 trilion. Sektor pengangkutan maritim pula merekodkan 98 peratus daripada perdagangan antarabangsa Malaysia,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada ‘The Next Wave: Maritime Education Symposium’ sempena Minggu Maritim Malaysia 2026 di Kampus ALAM, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Dr. Mohd Yusof Abu Bakar mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat @Limat.

Yang turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan MISC Berhad Datuk Zahid Osman, Pengerusi Malaysia Maritime Academy Sendirian Berhad Datuk Abu Huraira Abu Yazid, Naib Presiden, Marine Services, MISC Berhad Mohd Denny Mohd Isa dan Ketua Eksekutif Akademi Laut Malaysia Prof Emeritus Datuk Dr. Abu Abdullah serta kenamaan lain.

Simposium itu turut dihadiri delegasi antarabangsa dari Singapura, Brunei, China , Filipina, dan Amerika Syarikat.

Ab Rauf berkata, angka berkenaan dengan jelas menunjukkan bahawa sektor maritim bukan sekadar sebahagian daripada ekonomi Malaysia, sebaliknya ia adalah teras kepada perdagangan, daya saing dan menghubungkan kita dengan dunia.

Pada majlis sama Ab Rauf turut menyaksikan sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri Melaka dan MISC Berhad.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

662
Kongsi :
Previous post MELAKA RAIH TUJUH PENARAFAN PENGURUSAN ADUAN AWAM
Next post ‘BLACK PANTHER’ COMEL PENYERI BAHARU ZOO MELAKA